ALOR GAJAH: Empat remaja bawah umur iaitu dua lelaki dan dua perempuan mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini menyebabkan kecederaan terhadap seorang pemandu e-hailing wanita.
Kesemua tertuduh yang berusia antara 14 hingga 17 tahun membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Dr. Teoh Shu Yee.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa secara bersama sengaja menyebabkan kecederaan terhadap mangsa menggunakan sebatang besi dan menjerut lehernya sehingga mendatangkan kecederaan.
Kesalahan dilakukan kira-kira pukul 12.30 tengah malam pada 4 Mei 2026 di kawasan berhampiran Hutan Kuala Sungai Baru.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau sebatan, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Raya Muhamad Ehsan Nasarudin menawarkan jaminan RM2,000 bagi setiap tertuduh.
Keempat-empat tertuduh yang diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Goh Jee Chee memohon jaminan dikurangkan kepada RM1,000.
Mahkamah membenarkan ikat jamin RM1,000, selain penjaga perlu menemani tertuduh setiap kali hadir ke mahkamah. Sebutan semula ditetapkan 24 Jun ini termasuk penyerahan laporan akhlak. – UTUSAN










