MELAKA: Ketua Pemuda, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh menyokong tindakan 14 orang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari UMNO dan Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan yang menarik sokongan ke atas Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun hari ini.
Menurutnya, UMNO kekal berpegang kepada prinsip ‘agama, bangsa dan Raja-Raja Melayu’ dan sebarang keputusan politik yang melibatkan sokongan kerajaan perlu mengambil kira kepentingan institusi diraja serta kedaulatan negara.
“Saya jawab ini sebagai Ketua Pemuda UMNO Malaysia. Hari ini terbukti UMNO berpegang kepada prinsip agama, bangsa dan Raja-Raja Melayu.
“Jika ada mana-mana pihak yang menyentuh atau mencabar kedaulatan institusi Raja, UMNO tidak boleh berdiam diri dan akan mengambil pendirian yang jelas,” katanya pada sidang akhbar pada Persidangan Pertama, Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Ke-15 di Seri Negeri di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas mengenai tindakan 14 ADUN BN di Negeri Sembilan menarik sokongan terhadap Aminuddin yang juga ADUN Sikamat, Datuk Seri Aminuddin Harun hari ini.
Aminuddin merupakan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri, Keadilan Negeri Sembilan yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan.
Muhamad Akmal berkata, keputusan BN Negeri Sembilan itu dipercayai dibuat berdasarkan beberapa faktor yang perlu dihormati, namun UMNO tetap berpegang kepada prinsip asas perjuangannya walaupun berada dalam mana-mana gabungan kerajaan.
“Kita boleh berada dalam kerajaan atau menjadi pembangkang, tetapi prinsip tidak boleh berubah. UMNO boleh bekerjasama dalam kerajaan perpaduan atas titah Yang di-Pertuan Agong demi kestabilan negara, namun bukan bermakna kita menggadaikan prinsip,” katanya.
Tambah beliau, UMNO sebelum ini bersetuju menyertai kerajaan perpaduan bagi memastikan kestabilan politik negara selepas pilihan raya, namun keputusan itu dibuat atas dasar tanggungjawab dan bukan kerana kepentingan kuasa.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa tindakan menarik sokongan di Negeri Sembilan tidak harus dilihat sebagai perebutan kuasa semata-mata, sebaliknya berkait rapat dengan pendirian parti dalam mempertahankan institusi Raja-Raja Melayu.
“Ini bukan soal jadi kerajaan atau pembangkang, tetapi soal prinsip. UMNO tetap akan mempertahankan Raja-Raja Melayu, agama dan bangsa,” katanya.
Beliau turut berharap kemelut politik di Negeri Sembilan dapat diselesaikan secara baik oleh semua pihak demi kestabilan negeri dan kesejahteraan rakyat. – UTUSAN










