GEORGE TOWN: Kemasukan semula tokoh seperti Khairy Jamaluddin dan Datuk Seri Hishammuddin Hussein mampu memperkukuh UMNO dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Melaka serta Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Veteran politik, Tan Sri Mohd. Yussof Latiff berkata, penyertaan semula pemimpin lama dan lebih 6,000 ahli UMNO itu merupakan perkembangan positif yang hadir pada waktu yang tepat untuk mengembalikan keyakinan rakyat terhadap parti itu.
Katanya, sebarang kesilapan lampau yang berlaku melibatkan pemimpin berkenaan tidak seharusnya menyebabkan parti itu terus dipersalahkan, sebaliknya boleh diperbetulkan melalui saluran perlembagaan dan peraturan parti.
”Kemasukan semula tokoh-tokoh berpengaruh ini dijangka menambah kekuatan jentera parti selain meningkatkan keyakinan akar umbi menjelang beberapa medan pilihan raya penting.
”Ini perkembangan cukup baik dan masanya tepat. Dengan kemasukan semula mereka, kekuatan UMNO bertambah dan rakyat boleh melihat kesungguhan parti untuk kembali bersatu,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Semalam, Khairy, Hishammuddin dan veteran politik, Tan Sri Syed Hamid Albar serta lebih 6,200 bekas pimpinan termasuk ahli di peringkat UMNO bahagian dan cawangan seluruh negara diterima kembali ke pangkuan parti itu.
Mohd. Yussof berkata, sejarah panjang UMNO yang bakal menyambut ulang tahun ke-80 pada 11 Mei ini membuktikan bahawa parti itu dibina atas perjuangan besar dalam mencapai kemerdekaan dan membentuk asas kestabilan negara.
Katanya, perpecahan yang berlaku sebelum ini lebih berpunca daripada percaturan segelintir pemimpin yang mempunyai cita-cita politik tertentu, bukannya disebabkan kelemahan perjuangan parti.
”UMNO tidak berdosa. Kalau ada kesalahan, ia membabitkan pemimpin dan perkara itu boleh diperbetulkan. UMNO telah banyak berjasa bukan sahaja kepada orang Melayu, tetapi kepada seluruh rakyat dan negara,” katanya.
Mengenai kemungkinan UMNO bergerak solo pada pilihan raya akan datang, beliau berkata perkara itu bergantung kepada pertimbangan kepimpinan tertinggi parti berdasarkan kekuatan semasa.
Katanya, jika UMNO yakin dengan kekuatan sendiri, parti itu berupaya bergerak secara solo, namun kedudukan dalam Barisan Nasional (BN) juga masih relevan untuk diperkukuhkan.
Kemenangan dalam pilihan raya kelak akan membuka ruang kepada UMNO dan BN untuk berunding dengan rakan politik lain termasuk Pakatan Harapan (PH) demi kestabilan pentadbiran negara.
”Kita percaya kemasukan semula pemimpin berpengalaman dan sokongan ahli yang kembali menyertai UMNO mampu menjadi pemangkin kebangkitan parti, sekali gus memperkukuh persiapan menghadapi PRN Johor, Melaka dan PRU16,” katanya. – UTUSAN










