Isu babi: Rujuk ADUN ke jawatankuasa khas redakan polemik

Isu babi: Rujuk ADUN ke jawatankuasa khas redakan polemik

Babi
AFIF Bahardin menunjukkan gambar yang memaparkan keadaan saliran air dekat kawasan ladang babi di Tanjong Sepat yang masih tercemar pada sidang akhbar dekat Wisma Dewan Negeri, di Shah Alam, Selangor, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Kembangan, Wong Siew Ki perlu membuat permohonan maaf dan dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor bagi meredakan polemik berhubung isu ladang babi.

Ini kerana, perkara dibangkitkan wakil DAP itu kembali mencetuskan kemarahan dalam kalangan masyarakat sehingga menyebabkan institusi diraja negeri ini dihina menerusi hantaran karikatur yang melampau.

ADUN Taman Medan, Dr. Afif Bahardin berkata, hal demikian menyebabkan beliau membawa usul kepada DUN Selangor pada minggu lalu supaya Siew Ki di rujuk kepada jawatankuasa itu, bagaimanapun kelmarin notis tersebut ditolak oleh Speaker, Lau Weng San.

“Saya tiada kuasa untuk paksa Seri Kembangan meminta maaf dan sebagainya, sebab itu kita ada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan. ADUN ada certain degree of immunity untuk bercakap. Jadi bila kita bercakap dalam dewan, kita dilindungi.

“Jadi, kita hanya ada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan untuk dirujuk, apabila kita bercakap sesuatu benda yang kita merasakan tidak mengikut lunas-lunas yang sepatutnya,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.

Semalam, ADUN Perikatan Nasional (PN) itu bersama ADUN Kuang, Mohd. Rafiq Mohd. Abdullah digantung selama tiga hari sehingga esok selepas bangkit mempertikaikan keputusan Speaker menolak notis usul berkenaan pada Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Persidangan DUN Selangor Ke-15 2026.

Rabu lalu, Utusan Malaysia melaporkan Siew Ki dalam perbahasan menjunjung kasih titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, menegaskan isu penternakan babi di Selangor tidak seharusnya dibezakan dengan haiwan lain.

Wakil rakyat Pakatan Harapan (PH) itu berkata, risiko pencemaran, aspek kebersihan serta kesihatan dalam penternakan babi adalah sama seperti dihadapi oleh penternakan haiwan lain.

Afif menambah, beliau kemudian mempelawa Siew Ki untuk bersamanya meninjau keadaan dekat kawasan ladang babi di Kampung Tumbuk dan Tanjong Sepat, Kuala Langat yang sebelum ini berdepan dengan masalah pencemaran akibat sisa daripada pengurusan ternakan itu.

“Untuk menunjukkan bukti, saya menjemput Seri Kembangan untuk bersama esok turun ke Kampung Tumbuk dan Tanjong Sepat bersama rakan-rakan media. Kita tengok tahap pencemaran di sana.

“Jadi, kalau kerajaan negeri hendak bersihkan malam ini, saya harap esok bila kita tengok keadaannya sudah bersih. (Sekarang) Di situ (saliran air) penuh dengan najis babi, itu yang Seri Kembangan, Speaker dan kerajaan negeri hendak pertahankan,” tegasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN