SHAH ALAM: Jabatan Perhutanan Selangor (JPNS) menutup sementara permohonan bagi menjalankan aktiviti pendakian ‘trans hiking’ dan ‘hiking compress’ di hutan-hutan simpan kekal di negeri ini bermula 1 Julai depan.
Pejabat Pengarah JPNS dalam kenyataannya berkata, penutupan tersebut adalah selaras dengan Enakmen Pemakaian Akta Perhutanan Negara 1985.
“Bermula 1 Julai JPNS menutup sementara pemohonan bagi menjalankan aktiviti ‘trans hiking dan ‘hiking compress’ di mana-mana Hutan Simpanan Kekal di Selangor atas faktor keselamatan.
“Sebarang pelanggaran boleh disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 47, Enakmen Pemakaian Akta Perhutanan Negara 1985 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM30,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Bagaimanapun tidak dinyatakan tempoh penutupan tersebut.
Pada 4 Jun lalu, aktiviti pendakian di Gunung Batu Putih, di Tapah, Perak dilapor dihentikan buat sementara waktu berkuat kuasa serta merta susulan kejadian kehilangan pendaki wanita, Jaslinda Saludin, 49, di gunung tersebut sejak 24 Mei lepas.
Pengarah Perhutanan Negeri Perak, Datuk Mohd Basri Abdul Manaf berkata, aktiviti pendakian tersebut dihentikan antara tiga hingga enam bulan. – UTUSAN










