GOMBAK: Cadangan menangguhkan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor dengan mengisytiharkan darurat merupakan petanda bahawa parti-parti dalam kerajaan takut mengalami kekalahan.
Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, mengisytiharkan darurat tanpa alasan kukuh merupakan satu tindakan menyalahgunakan perintah tersebut untuk tujuan politik.
Katanya, ketika zaman pentadbirannya sebagai Perdana Menteri, pengisytiharan darurat dilaksanakan bagi menangguhkan pilihan raya atas faktor kesihatan iaitu penularan wabak Covid-19.
“Saya tak tahu apa sebab sekarang hendak ditangguhkan pilihan raya. Ada andaian mengatakan jika pilihan raya diadakan sekarang mereka akan kalah, sebabnya orang masih marah dengan isu minyak (petrol), isu diesel dan bebanan kos sara hidup.
“Bagi saya tidak ada sebab (tangguhkan pilihan raya) kerana kalau pihak kerajaan sudah buat keputusan untuk pilihan raya, kami di Perikatan Nasional (PN) sudah bersiap sedia pada bila-bila masa,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Silaturahim Aidilfitri yang dianjurkan Bersatu Bahagian Gombak, di sini.
Yang turut hadir ialah Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu; Naib Presiden Bersatu, Datuk Dr. Radzi Jidin dan Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Pengerusi DAP Melaka, Khoo Poay Tiong sebelum ini dilapor mencadangkan agar kerajaan Melaka mengemukakan petisyen kepada Yang di-Pertuan Agong bagi mengisytiharkan darurat serta menangguhkan PRN tersebut.
Beliau memberi alasan penangguhan iti kononnya mengambil kira keadaan rakyat yang kini sedang berdepan dengan tekanan kos sara hidup yang meningkat susulan kenaikan harga diesel.
Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, PN sudah bersedia di seluruh peringkat bagi menghadapi PRN Melaka dan Johor jika ia diadakan pada bila-bila masa.
“Sekarang pun kita sudah buat persiapan baik di peringkat negeri mahu pun nasional. Kita sudah melantik Pengarah Pilihan Raya dan sebagainya.
“Jadi saya tak nampak kenapa ada keperluan untuk menangguhkan pilihan raya dan meminta supaya mengisytiharkan darurat. Ini tidak wajar,” katanya. – UTUSAN










