‘Tidak ada masalah tidak berjawatan’

‘Tidak ada masalah tidak berjawatan’

FAKHRUL ANWAR ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Ketiga-tiga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pas Perlis yang dilucutkan keahlian telah mengemukakan permohonan untuk kembali menyertai parti itu.

Bekas ADUN Bintong, Fakhrul Anwar Ismail berkata, permohonan tersebut telah dikemukakan bersekali dengan rayuan kepada Majlis Syura Ulama sebelum ini.

Fakhrul Anwar yang pernah menjawat jawatan Timbalan Pesuruhjaya Pas II turut berharap dapat diterima semula menyertai Pas memandangkan beliau sudah hampir 40 tahun berjuang serta mengabdikan diri bersama parti Islam itu sejak di zaman mahasiswa lagi.

“Harapan saya agar dapat diterima balik (di dalam Pas) sebab yang pertama saya sudah lama terlibat dengan Pas sejak berusia 18 tahun lagi iaitu lebih 37 tahun dan saya sayang Pas. Saya ingin berada di dalam Pas, tidak ada masalah tidak jadi ADUN semula dan saya juga tidak pernah minta hendak jadi Exco apatah lagi bercita-cita hendak jadi Menteri Besar.

“Saya menyertai Pas sebab memahami dasar perjuangan parti itu dan ia berjaya mengubah saya lebih memahami mengenai Islam melalui tarbiah Pas bukan disebabkan politik semata-mata.

“Tidak ada masalah bagi saya berada di dalam Pas sekiranya tidak berjawatan sekali pun. Banyak lagi ruang di dalam Pas yang boleh saya berperanan khususnya dalam aspek siasah dan tarbiah, bukan politik semata-mata. Bagaimanapun, kebenaran tetap akan terus diperjuang dan disuarakan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Kelmarin, media melaporkan, Majlis Syura Ulama Pas menerima rayuan tiga bekas ADUN Pas Perlis yang dilucutkan keahlian pada Disember lalu namun status keahlian mereka hanya boleh diputuskan oleh Pas pusat.

Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin berkata, keputusan itu dibuat dalam Mesyuarat Majlis Syura Ulama pada 27 Januari lalu, yang turut membincangkan rayuan ketiga-tiga ADUN iaitu Saad Seman (ADUN Chuping), Fakhrul Anwar dan Mohd. Ridzuan Hashim (ADUN Guar Sanji).

Keputusan Majlis Syura Ulama menerima rayuan itu dilihat sebagai langkah berhemah dan matang, menekankan prinsip keadilan, persaudaraan dan kepentingan rakyat di atas segala konflik dalaman parti.

Sementara itu, Fakhrul Anwar berkata, saman terhadap Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Rus’sele Eizan berhubung pengosongan kerusi DUN tersebut tetap diteruskan.

“Kita serahkan kepada kebijaksanaan peguam untuk membela suara ADUN ini. Saman tetap diteruskan tidak kisah sama ada kalah atau menang. Rakyat di DUN berkenaan perlu pembelaan bukan dibiarkan tergantung tanpa wakil rakyat,” katanya.

Pada 25 Disember lalu, Rus’sele mengumumkan kekosongan luar jangka di kerusi DUN Chuping, Bintong dan Guar Sanji selepas ADUN terlibat terhenti keahlian Pas, susulan tindakan mereka bersama lima ADUN Bersatu dikatakan menarik sokongan terhadap Mohd. Shukri Ramli selaku Menteri Besar ketika itu.

Dalam pada itu, Hashim berkata, Majlis Syura telah menerima rayuan yang dikemukakan tiga ADUN berkenaan untuk dibawa kepada perbincangan dengan jawatankuasa Pas Pusat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN