Azmin Ali didakwa watak utama perbalahan Bersatu, PN

Azmin Ali didakwa watak utama perbalahan Bersatu, PN

Kedaulatan negara
MOHAMED AZMIN ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali didakwa menjadi watak utama di sebalik perbalahan yang berlaku dalam Parti Bersatu serta Perikatan Nasional (PN).

Ketua Bersatu Bahagian Selayang, Ahmad Nasir Mid berkata, kemasukan Azmin ke dalam Bersatu didakwa membawa budaya politik Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang lebih agresif dan berasaskan kem.

Beliau berkata, punca sebenar adalah daripada Azmin yang dikatakan berhasrat menguasai Bersatu dengan menempatkan kroni-kroninya dalam jawatan strategik parti.

AHMAD NASIR MID

Menurut beliau, ini kerana Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin pernah menyatakan hasrat untuk berundur dan menyerahkan kepemimpinan parti kepada Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

Oleh itu katanya, Azmin menggunakan pengaruh Muhyiddin bagi menentang pihak yang dianggap sebagai musuh politiknya, termasuk usaha mengekang kebangkitan Hamzah agar tidak mengukuhkan kedudukan dalam Bersatu dan PN.

“Pada masa sama, Azmin juga didakwa memanfaatkan kedudukannya bagi menentang Pas, sekali gus memastikan Hamzah tidak mendapat sokongan penuh untuk naik ke peringkat lebih tinggi dalam kepemimpinan PN.

“Hubungan antara Muhyiddin dan Hamzah sebelum ini tidak terlalu tegang, malah Muhyiddin dikatakan pernah memberi sokongan penuh kepada Hamzah.

“Namun, keadaan berubah selepas kemunculan Azmin apabila Muhyiddin dilihat beralih sokongan dan mula memberi keutamaan kepada beliau bagi mengukuhkan kedudukannya dalam parti,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Semalam akhbar ini melaporkan, Pas menegaskan tidak wujud sebarang usaha untuk menyingkirkan Muhyiddin daripada Perikatan Nasio­nal (PN) mahupun Bersatu.

Ia sekali gus menolak spekulasi kononnya berlaku gerakan tersusun untuk memaksa Presiden Bersatu itu berundur daripada kepimpinan gabungan berkenaan.

Dalam pada itu, Ketua Bersatu Bahagian Kepala Batas, Khaliq Mehtab Mohd Ishaq berkata, masalah yang timbul bukan berpunca daripada perselisihan antara Muhyiddin dan Datuk Hamzah.

Katanya, ia berpunca daripada ketidakseimbangan kuasa dalam parti selepas Azmin dilantik sebagai Setiausaha Agung Bersatu.

“Jawatan Timbalan Presiden secara tradisinya dianggap nombor dua, tetapi Setiausaha Agung sebenarnya memegang pengaruh lebih besar dalam pentadbiran dan keahlian parti.

“Sejak kemasukan Azmin, isu dalaman mula timbul termasuk ketidakselesaan beberapa pihak terutamanya daripada Pas terhadap pelantikan tersebut.

“Pas pun kurang selesa dengan pelantikan Azmin sebagai Setiausaha Agung PN. Ketidakselesaan itu mula timbul apabila Tan Sri Muhyiddin Yassin membuat pelantikan tersebut, walaupun ia merupakan prerogatif beliau sebagai Pengerusi PN pada masa itu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN