MPT Bersatu sedia terima pelantikan Samsuri teraju PN

MPT Bersatu sedia terima pelantikan Samsuri teraju PN

ROSOL WAHID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Datuk Rosol Wahid berkata, sebarang pelantikan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) dalam kalangan pemimpin Pas termasuk Naib Presidennya, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar diterima secara terbuka.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Hulu Terengganu berkata, Bersatu sentiasa mengutamakan kepentingan gabungan dan bersedia menerima mana-mana keputusan yang dipersetujui bersama oleh kepemimpinan PN.

Bagaimanapun katanya, perlantikan Pengerusi PN masih dalam perbincangan dan hanya akan diputuskan dalam mesyuarat seterusnya.

“Seandainya pelantikan Ahmad Samsuri itu dikehendaki semua (pemimpin), maka kita akan ikut.

“Namun, ia masih belum diputuskan dan sedang dalam perbincangan. Kena tunggu mesyuarat seterusnya,” katanya ringkas kepada Utusan Malaysia semalam.

Sebelum ini, beberapa pihak termasuk ARMADA Bersatu membuat ketetapan jawatan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) mesti disandang oleh mana-mana presiden parti gabungan itu, yang mempunyai kuasa dan autoriti mewakili parti masing-masing.

Sebelum ini, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengesahkan parti itu akan menerajui PN, namun memberi bayangan beliau tidak akan memegang jawatan Pengerusi.

Beberapa nama turut disebut-sebut bakal mengisi jawatan itu, antaranya Ahmad Samsuri yang juga Menteri Besar Terengganu dan Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor, yang juga Menteri Besar Kedah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN