KULIM: Pembukaan Pusat Khidmat Rakyat di Parlimen Padang Serai bukanlah sebagai petanda Pengerusi PKR Kedah, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail akan bertanding di kerusi itu pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) akan datang.
Sebaliknya, beliau berkata, belum ada sebarang keputusan mengenai penyertaannya dalam PRU16, termasuk soal kerusi atau kawasan yang akan ditandinginya pada pilihan raya itu.
Sebaliknya jelas Saifuddin, tindakan membuka Pusat Khidmat Rakyat di kawasan itu adalah bagi membolehkan masyarakat Padang Serai khususnya menerima pelbagai manfaat yang disediakan kerajaan Persekutuan.
“Tidak, itu terlalu awal (tentukan kerusi). Saya katakan tadi sebagai Pengerusi Bersama Majlis Tindakan Pembangunan Negeri (MTPN) saya ada pejabat di Kedah tapi di sana (Alor Setar), di sini Kedah selatan jadi lebih mudah rakyat dapat akses.
“Saya boleh jadi bertanding, boleh jadi tidak. Boleh jadi di sini, boleh jadi tempat lain. Jadi masih terbuka, saya tak ada sebut secara sah bahawa pembukaan pusat khidmat ini di sini saya bertanding, tak ada sebut begitu,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Pusat Khidmat Rakyat di Lunas, Padang Serai, malam tadi.
Saifuddin yang juga Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH) sebelum ini pernah memenangi kerusi Parlimen Kulim-Bandar Baharu, namun tewas pada pilihan raya umum yang lalu.
Ketika ditanya kerjasama politik bersama Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya akan datang, beliau menyatakan perkara itu juga terlalu awal untuk diulas, namun menegaskan parti yang kini sedang membentuk kerajaan berjalan dengan baik.
“Buat masa sekarang kita adalah regu strategik yang sudah pun masuk tahun ketiga, berbeza 2020 tempoh hari, tiga tahun itu dah dua Perdana Menteri, (tapi kerajaan) ini masih terus dan kita pun tengok ucapan Presiden UMNO yang buat keputusan untuk UMNO terus bersama Kerajaan Perpaduan,” ujarnya.
Sementara itu, mengulas mengenai Mesyuarat Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Kedah yang diadakan kelmarin, beliau berkata mesyuarat itu bertujuan memperkemas gerak kerja parti berkenaan.
Selaku pembangkang di Kedah, ujar Saifuddin, mereka bertanggungjawab bukan sekadar mengkritik kerajaan negeri, tetapi juga memberi penyelesaian kepada rakyat yang mempunyai masalah. – UTUSAN










