ARAU: Pemuda UMNO Perlis mempersoal adakah Pas telah melakukan perubahan ke arah Perlis lebih Islamik selepas diberi kepercayaan memerintah.
Pemangku Ketua Pemuda UMNO Bahagian Arau, Ahmad Nazrin Abdul Aziz berkata, sepanjang tiga tahun ini, sebagai contoh, apakah satu perkara yang benar-benar lebih Islamik yang telah dilaksanakan oleh Pas di negeri ini di mana tidak ada satu pun masjid baharu yang dilihat dibina.
Katanya, kebanyakan masjid yang ada telah pun dibangunkan ketika UMNO mentadbir.
“Tidak ada pula penambahan ketara jumlah jemaah di masjid-masjid berbanding era pentadbiran
UMNO. Malah, tidak ada penurunan yang signifikan dalam kadar penceraian, kes penagihan
dadah atau kadar jenayah di negeri kami selepas ditadbir oleh Pas.
“Mengapa tidak ada dasar atau hasil yang benar-benar memperlihatkan pentadbiran yang lebih Islamik?. Jawapannya mudah, kerana apa yang diperjuangkan dan dilaksanakan oleh UMNO selama ini sebenarnya sudah cukup Islamik dalam kerangka pentadbiran sebuah negara yang majmuk.
“Agama terpelihara, bangsa terjaga dan negara berada dalam keadaan sejahtera,” katanya membahaskan ucapan dasar Ketua Pemuda UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 semalam.
Kata Ahmad Nazrin, UMNO adalah sebuah parti yang berprinsip dan tidak pernah memonopoli agama untuk orang parti dan tidak menjadikan Islam sebagai alat retorik politik.
“Orang lain boleh berjuang untuk agama dan bangsa dengan cara mereka, tetapi UMNO akan
terus berjuang untuk memartabatkan agama dan bangsa mengikut cara kita.
“Sejarah juga membuktikan bahawa UMNO bukan sekadar bercakap, tetapi bertindak. Apabila timbul isu berkaitan pelaksanaan URA yang boleh menjejaskan kepentingan rakyat, UMNO bangkit menyuarakan pendirian dan berjaya meyakinkan kerajaan sehingga perkara tersebut tidak diteruskan.
“Apabila muncul cubaan untuk memberi pengiktirafan kepada sistem UEC, UMNO berdiri tegas mempertahankan dasar pendidikan nasional, dan sekali lagi kita berjaya meyakinkan kerajaan,” katanya.
Katanya lagi, inilah wajah sebenar perjuangan UMNO, bukan retorik agama yang kosong, tetapi prinsip
yang konsisten.
“UMNO tidak perlu membuktikan keIslamannya dengan slogan, kerana Islam itu telah lama
diterjemahkan melalui dasar, pentadbiran dan kesejahteraan rakyat,” katanya.-UTUSAN










