JOHOR BAHRU: Perpecahan besar-besaran yang sedang berlaku dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) boleh dianggap sebagai ‘karma’ atau kesan daripada pengkhianatan dilakukan golongan berkenaan terhadap UMNO.
Naib Ketua Pemuda UMNO, Mohd. Hairi Mad Shah berkata, pihaknya bagaimanapun enggan memikirkan permasalahan dihadapi parti lain sebaliknya mahu fokus memperkukuh UMNO dan perpaduan Melayu.
Sehubungan itum katanya, beliau menyambut baik saranan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang menggagaskan konsep Rumah Bangsa.
“Sebenarnya saya tak nak ambil peduli tentang parti-parti lain. Saya hanya fokus pada parti UMNO. Mungkin apa yang berlaku (perpecahan Bersatu) adalah karma (kerana mengkhianati) parti keramat masyarakat Melayu.
“Tetapi Presiden UMNO telah membuka pintu menerusi konsep Rumah Bangsa, jadi saya yakin keterbukaan UMNO masih ada dan ini peluang buat semua individu dan parti-parti Melayu kembali bersatu padu dibawah konsep itu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tentang perpecahan dalaman Bersatu ketika ditemui pada Majlis Ramah Tamah Sempena Tahun Baharu Cina Anjuran Persekutuan Tionghua Johor Bahru, di sini hari ini.
Mohd. Hairi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Johor enggan mengulas sama ada kelemahan pembangkang ketika ini merupakan waktu terbaik untuk diadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor atau Pilihan Raya Umum (PRU).
“Saya percaya Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dan Presiden UMNO mempunyai kebijaksanaan dan perkiraan mereka yang tersendiri bila hendak dibubarkan kerajaan.
“Apapun perkara itu perlu mendapat persetujuan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail,” katanya. – UTUSAN










