PETALING JAYA: UMNO menangguhkan pemilihan parti selepas Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) bagi memberi ruang untuk persediaan menghadapi pilihan raya.
Setiausaha Agungnya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada hari ini yang membincang dan memperincikan beberapa perkara.
Kata beliau, antaranya adalah penetapan tarikh-tarikh bagi Persidangan Tahunan Cawangan-Cawangan, Bahagian-Bahagian dan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026
“Mesyuarat turut sebulat suara bersetuju untuk menangguhkan Pemilihan UMNO yang dijadualkan pada tahun ini kepada tarikh tidak boleh melebihi enam bulan selepas PRU16 selaras dengan peruntukan Perlembagaan di bawah Fasal 10.16, Fasal 10.6.1 dan Fasal 10.6.2.
“Ini bagi memastikan seluruh jentera parti di semua peringkat dipersiapkan untuk menghadapi kemungkinan Pilihan Raya Negeri (PRN) dan PRU16 yang boleh diadakan pada bila-bila masa bermula tahun ini,” katanya menerusi kenyataan media.
Asyraf Wajdi berkata, UMNO memutuskan tarikh persidangan tahunan iaitu peringkat cawangan bermula 1 April hingga 17 Mei dan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian pada 1 Jun hingga 12 Julai.
Menurut beliau, Perhimpunan Agung UMNO ditetapkan 12 Ogos hingga 16 Ogos.
Asyraf Wajdi berkata, UMNO akan menganjurkan Kongres Pendidikan Bumiputera pada 1 Mei ini bersempena sambutan Ulang Tahun UMNO ke-80 pada tahun ini.
“Selain itu, Konvensyen UMNO sebagai acara kemuncak sambutan bersejarah yang akan diadakan pada 2 Mei ini bertempat di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia,” katanya. – UTUSAN










