Tiada parti akan dominan di Sabah

Tiada parti akan dominan di Sabah

MAZLAN ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kesediaan Perikatan Nasional (PN) untuk bergabung selain dengan DAP untuk menubuhkan kerajaan negeri Sabah adalah realiti dinamika politik di tanah air kerana tiada parti yang mampu mendominasi secara solo.

Penganalisis Politik, Dr. Mazlan Ali berkata, senario politik di Sabah kini sudah berubah mengikut lokaliti tertentu sehinggakan tiada parti yang dapat mendominasi keseluruhan negeri.

Katanya, keadaan itu menyebabkan setiap parti bertanding mempunyai potensi seimbang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-17 kali ini.

“Sekarang ini semua parti seimbang, tiada yang betul-betul mendominasi atau dominan untuk menubuhkan kerajaan negeri tanpa perlu bergabung.

“Sebagai contoh, di bandar Pakatan Harapan (PH) mempunyai peluang cerah tetapi di pantai timur Sabah kekuatannya lebih kepada Warisan (Parti Warisan) manakala di kawasan etnik Kadazan-Dusun, Star, UPKO dan GRS (Gabungan Rakyat Sabah) berpeluang menang.

“Kawasan yang mempunyai pengundi Melayu Islam ramai pula adalah tempat UMNO, Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) dan Pas cuba mendapatkan kerusi,” katanya kepada Mingguan Malaysia.

Beliau berkata, secara umumnya, kenyataan dibuat Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin itu tidak salah memandangkan jangkaannya tiada parti yang mampu untuk menubuhkan kerajaan negeri secara bersendirian.

“Kenyataan itu lebih kepada langkah strategik mereka untuk pasca-PRN. Tetapi laluan PN di PRN Sabah agak sukar kerana parti-parti komponen yang bertanding merupakan parti Semenanjung bukannya lokal,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, laluan PN kini semakin sukar apabila tular kenyataan yang disifatkan sebagai menghina rakyat Sabah oleh Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan Kedah, Mansor Zakaria baru-baru ini.

Katanya, kenyataan sedemikian mengakibatkan kempen PN di Sabah terjejas kerana menjadi ‘senjata’ untuk pihak lawan memainkan sentimen di kalangan pengundi.

“Beliau mungkin tidak berniat sebegitu tetapi apabila ia sudah diucapkan maka perkara itu menjadi senjata oleh pihak lawan kerana kenyataan sebegitu dilihat merendahkan pengundi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN