Mengapa pengundi pilih calon, bukan parti?

Mengapa pengundi pilih calon, bukan parti?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

POLITIK Sabah memiliki keunikan sendiri yang memilih calon pilihan raya berdasarkan keturunan dan suku kaum berbanding Semenanjung yang masih berkisar kepada parti dan sentimen yang dicetuskan pihak lawan.

Sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, suasana politik tidak seperti di Semenanjung yang hangat dan meriah dengan sentimen perkauman, sebaliknya di sini masih tertumpu kepada hak Sabah dan masalah tiga serangkai iaitu air, elektrik dan jalan yang belum menemukan titik noktah.

Malah pemerhatian mendapati PRN Sabah yang menyaksikan pertembungan sehingga 14 penjuru melihat kebanyakkan pengundi masih memilih kepada figura dikenali dalam kalangan tokoh masyarakat, pemimpin komuniti dan ketua suku etnik khususnya di kawasan pendalaman.

Populariti, jaringan sosial dan reputasi peribadi calon menjadi pengukur utama berbanding keupayaan parti mempengaruhi sentimen dalam tempoh kempen seperti mana berlaku di Semenanjung.

Misalnya kawasan Usukan yang terletak kira-kira 77 kilometer dari Kota Kinabalu, mereka masih melihat suku sebagai kriteria untuk memilih calon khususnya orang Bajau yang memiliki populasi teramai di Dewan Undangan Negeri (DUN) itu.

Begitu juga di Moyog yang memiliki etnik Kadazan tertinggi dan membuka pertembungan banyak calon dalam kalangan etnik itu dalam PRN Sabah kali ini. Meskipun terletak di kawasan pinggir bandar, ia telah membuka ruang luas untuk calon Kadazan mendominasi sokongan pengundi kerana aspek keterwakilan merupakan antara keutamaan besar masyarakat setempat.

Namun keadaan sedikit berbeza di kawasan bandar seperti Kota Kinabalu seperti Api-Api dan Likas apabila pengundi menilai kredibiliti dan kemampuan calon serta parti bertanding khususnya rekod penyandang sebelum ini.

Keadaan ini menjelaskan mengapa pembahagian kerusi dan strategi pencalonan di Sabah jauh lebih kompleks berbanding Semenanjung. Parti politik bukan sahaja perlu menawarkan manifesto dan hala tuju pembangunan, bahkan perlu memahami persepsi masyarakat terhadap identiti calon. Kesilapan menentukan calon yang tidak memenuhi jangkaan etnik lazimnya mengundang perpecahan undi dan kekalahan.

Dalam konteks persaingan banyak penjuru, isu identiti etnik menjadikan pertandingan semakin sengit kerana calon daripada suku dominan mampu menarik pengundi tertentu walaupun mewakili parti kecil atau baharu. Ia mengurangkan kebergantungan rakyat kepada parti politik sebagai jenama dan sebaliknya mengalihkan fokus kepada calon sebagai individu.

Fenomena ini turut mendorong kemunculan ramai calon bebas di Sabah khususnya dalam kawasan majoriti satu suku kaum. Ramai individu memilih bertanding atas tiket bebas bukan semata-mata kerana menolak parti, tetapi kerana ingin membawa naratif keterwakilan etnik yang tidak dipenuhi parti politik tertentu.

Dalam banyak keadaan, penyokong akar umbi sendiri mendesak tokoh suku mereka bertanding bebas jika parti tidak menamakan calon daripada etnik dominan kawasan tersebut.

Secara keseluruhannya, politik Sabah berdepan pola pengundian antara tradisional dan corak moden dengan kawasan bandar kian bergerak ke arah politik berasaskan prestasi, manakala luar bandar masih mempertahankan identiti sebagai instrumen kuasa politik.

Persoalan penting untuk PRN Sabah akan datang ialah sejauh mana perubahan demografi, pendidikan dan urbanisasi mampu mengimbangi dua realiti ini serta mencorakkan masa depan kepimpinan negeri. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN