Kerajaan Persekutuan buktikan prinsip federalisme sebenar

Kerajaan Persekutuan buktikan prinsip federalisme sebenar

WOO KAH LEONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Keputusan Kabinet tidak merayu bagi tuntutan 40 peratus hasil Sabah dilihat sebagai jalinan kerjasama positif antara Kerajaan Persekutuan dan negeri.

Ketua Pemuda Sosialis DAP (DAPSY), Woo Kah Leong berkata, ia menandakan pendekatan baharu Kerajaan Persekutuan yang menekankan kerjasama berbanding konfrontasi, sejajar dengan prinsip federalisme sebenar.

Katanya, keputusan itu membuka ruang bagi rundingan terus dengan Kerajaan Negeri Sabah yang baharu selepas ini bagi memulihkan autonomi negeri serta memperkukuh pengagihan sumber dan perancangan pembangunan.

“DAPSY menegaskan bahawa keputusan ini merupakan satu langkah penting yang melambangkan iltizam politik dan keikhlasan Kerajaan Perpaduan untuk menzahirkan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) serta komitmen terhadap usaha memulihkan autonomi Sabah.

“Keputusan ini adalah tepat pada masanya dan amat signifikan kerana telah membuka lembaran politik baharu antara hubungan Kerajaan Persekutuan dengan Sabah serta menjadi teladan penting bagi menyerlahkan semangat Persekutuan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Semalam, Kerajaan Persekutuan memutuskan tidak akan membuat rayuan terhadap Pemberian Khas Negeri Sabah berdasarkan 40 peratus hasil sebagaimana diputuskan oleh Mahkamah Tinggi, Kota Kinabalu.

Jabatan Peguam Negara dalam kenyataan memaklumkan, keputusan itu dibuat oleh Mesyuarat Khas Jemaah Menteri kerana menghormati prinsip yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Kah Leong berkata, pendekatan itu juga menunjukkan selagi Pakatan Harapan (PH) diberi mandat memimpin, Sabah dan seluruh negara mampu melangkah ke arah kestabilan, kemajuan serta reformasi progresif demi kesejahteraan rakyat.

“Berbeza dengan modus operandi rejim kerajaan sebelum ini, kerajaan kini yang diterajui oleh PH memilih pendekatan kerjasama dan bukannya konfrontasi dengan berpandukan prinsip federalisme yang sebenar.

“Diharapkan pengumuman yang bersejarah ini akan memperkukuh hubungan antara Kerajaan Persekutuan dengan negeri serta memacu kemajuan bersama dalam pengagihan sumber, perancangan pembangunan dan tadbir urus,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN