DAPSY dakwa Malaysia lebih aman tanpa Pas

DAPSY dakwa Malaysia lebih aman tanpa Pas

LIM CHUN WENG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia mampu mengecapi keamanan sebenar sekiranya tidak dibelenggu politik ekstrem seperti yang dibawa Pas.

Setiausaha Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Malaysia, Lim Chun Weng berkata, walaupun Malaysia dibina atas asas kepelbagaian, Pas didakwa masih tegar memainkan sentimen perkauman dan agama demi kepentingan politik.

Katanya, pendekatan politik sedemikian menjadi antara punca ketegangan dan polarisasi dalam negara.

“Malaysia dibina atas asas kepelbagaian. Semua kaum dan agama mempunyai hak masing-masing yang dijamin Perlembagaan.

“Apakah begitu sukar untuk memahami bahawa negara ini bukan milik satu kaum atau satu tafsiran agama semata-mata?” katanya dalam kenyataan semalam.

Chun Weng berkata demikian bagi membalas dakwaan Ketua Dewan Ulamak Pas Pusat, Datuk Ahmad Yahaya yang mendakwa Malaysia mampu mengecapi keamanan sebenar tanpa DAP yang menurutnya menjadi punca perpecahan dan ketegangan dalam negara.

Menurut Chun Weng, negara masih terperangkap dalam politik sempit kerana terdapat pihak yang terus memainkan sentimen kebencian meskipun menyedari kesannya terhadap perpaduan nasional.

Malah, katanya, sikap Pas selama ini didakwa menjarakkan keharmonian masyarakat dan merosakkan usaha membina negara bangsa yang inklusif.

“Siapa yang sering kafir-mengkafir hanya kerana berbeza pandangan politik?

“Siapa yang gagal mengurus tadbir negeri sehingga isu air tidak dapat diselesaikan? Siapa yang gemar memainkan sentimen kaum dan agama setiap kali musim pilihan raya?

“Siapa yang mempertikaikan budaya masyarakat majmuk dan cuba memaksa cara hidup mereka ke atas semua rakyat?

“Siapa yang menuduh pihak lain anti-Melayu dan anti-Islam semata-mata untuk meraih sokongan politik?,” katanya.

Katanya, rakyat juga perlu merenung punca ketegangan dalam kalangan masyarakat yang masih berlaku walaupun negara sudah mencapai kemerdekaan sejak beberapa dekad lalu.

Beliau berkata, Malaysia adalah sebuah negara demokrasi berperlembagaan yang menjamin hak semua rakyat tanpa mengira kaum dan agama.

“Bagaimana kita mahu membina negara maju dan bersatu sekiranya masih ada pihak yang terus meniup api kebencian dan perpecahan?

“Perpaduan tidak akan lahir daripada politik ketakutan dan ekstremisme,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN