KUALA LUMPUR: UMNO tidak akan kembali menjalin kerjasama dengan Pas sekiranya parti itu masih tidak mengubah sikap khianat mereka.
Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi membuat penegasan itu ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang meminta UMNO kembali ke pangkal jalan.
Beliau berkata, dahulu dirinya yang memulakan Muafakat Nasional (MN) namun gabungan itu terlerai kerana pengkhianatan Pas.
“DNA mereka (Pas) adalah khianat, jadi kalau mereka menghilangkan rasa khianat dalam hati, mungkin kita boleh pertimbangkan (untuk kembali kerjasama) tetapi kalau khianat itu masih ada, elok kita lupakan,” katanya.
Beliau ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pelancaran Pelan Tindakan Dasar Sosial Negara Bagi Tahun 2026-2030 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini hari ini.
Semalam, Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang itu mendakwa, UMNO semakin lemah kerana meninggalkan asas perjuangan Islam dan Melayu selepas memilih bekerjasama dengan PKR dan DAP.
Dalam tulisan bertajuk UMNO: Rumah Yang Dicabut Paku Lantai beliau berkata, tindakan itu menyebabkan pegangan parti berkenaan terhadap dasar Islam dan Melayu semakin goyah.
Sementara itu, Ahmad Zahid membidas desakan Pas terhadap Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing meletakkan jawatan susulan penganjuran pesta air, Rain Rave di Bukit Bintang sebelum ini.
“Apa sahaja yang dibuat, bagi parti berkenaan memang semuanya tidak betul tetapi apabila mereka menjadi sebahagian dari kerajaan, apabila ada dikalangan pemimpin yang mempunyai kuasa, mereka tidak melakukan apa yang lebih baik dari sekarang.
“Saya fikir kita tidak makan dengan ugutan, apa pun kuasa melantik menteri di bawah tangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya.
Bagaimanapun, katanya, penganjuran program yang melibatkan kerajaan perlu lebih berhati-hati.
“Namun, kita kena lebih berhati-hati bila ia melibatkan soal yang saya sendiri telah nyatakan dalam kenyataan media saya sebelum ini. Kita tangani dan santuni perkara serta isu ini dengan baik, bukan dengan cara desakan dan sebagainya,” katanya. – UTUSAN










