KUALA LUMPUR: UMNO tidak akan memberikan dukungan kepada Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun sekiranya beliau terus mencampuri urusan institusi adat di negeri itu.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, parti itu mahu supaya isu antara Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir dan Undang Yang Empat itu dihormati.
“Itu bukan pendirian (UMNO) Negeri Sembilan sahaja, kita bukan menolak tetapi kita tidak mendukung selagi beliau campur tangan dalam undang adat di negeri tersebut.
“Kita mahu supaya soal antara Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir dan Undang Yang Empat itu harus dihormati dan biarlah mereka selesaikan masalah itu,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas Majlis Pelancaran Pelan Tindakan Dasar Sosial Negara bagi Tahun 2026-2030 di Pusat Dagangan Dunia, di sini hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan, UMNO Negeri Sembilan menegaskan akan terus menyokong pentadbiran kerajaan negeri namun pada masa sama kekal hilang kepercayaan terhadap Aminuddin.
Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Mustapha Nagoor berkata, ketetapan untuk mengekalkan kerjasama itu dibuat demi menjamin kesejahteraan dan keutamaan kepada rakyat di negeri berkenaan.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, tiada cadangan untuk menggantikan Aminuddin sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan.
“Tidak ada cadangan,” katanya. – UTUSAN









