Siasatan bekas pembantu Rafizi cetus ketakutan

Siasatan bekas pembantu Rafizi cetus ketakutan

WOO KAH LEONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang cuba mengesan pembantu kepada bekas seorang menteri bagi membantu siasatan, berisiko mewujudkan suasana ketakutan dalam kalangan rakyat.

Ketua Pemuda DAP, Woo Kah Leong berkata, ini kerana ia memberi gambaran kuasa penguatkuasaan boleh digunakan secara menakut-nakutkan.

“Individu yang sedang dikesan itu bukan seorang ahli perniagaan dalam buruan seperti Low Taek Jho, mahupun ahli perniagaan berpengaruh yang berdepan tuduhan rasuah.

“Sehubungan itu, menjalankan siasatan berprofil tinggi terhadap individu tersebut kelihatan tidak seimbang dan tidak perlu,” katanya dalam kenyataan di Facebook beliau hari ini.

Semalam, bekas pembantu kepada bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli iaitu James Chai dikehendaki bagi membantu siasatan berhubung dakwaan penyelewengan RM1.11 bilion membabitkan seorang menteri kanan.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, individu terbabit yang kini berada di United Kingdom adalah individu dikehendaki.

Menurut Kah Leong, DAPSY prihatin terhadap cara SPRM menjalankan siasatan berprofil tinggi terhadap seorang individu yang berisiko mewujudkan ketakutan dalam kalangan rakyat.

Beliau berkata, walaupun DAPSY menyokong sepenuhnya usaha memerangi rasuah serta menjunjung kebebasan institusi penguatkuasaan, usaha tersebut mestilah sentiasa berlandaskan profesionalisme, proses sewajarnya dan menghormati kebebasan sivil.

“Siasatan terkini yang dijalankan oleh SPRM terhadap individu tersebut telah menimbulkan tanggapan bahawa kuasa penguatkuasaan mungkin digunakan secara terpilih,” katanya.

ADUN Pasir Bedamar itu berkata, rakyat sedang memerhati dan SPRM tidak seharusnya terlibat dalam ‘perburuan politik’ terhadap seorang rakyat biasa.

Menurutnya, tindakan seperti ini berisiko menimbulkan kebimbangan awam bahawa kuasa penguatkuasaan digunakan secara terpilih, sekali gus menghakis keyakinan terhadap institusi negara.

“Apabila siasatan dijalankan dengan cara yang berpotensi menjejaskan keyakinan awam, Kerajaan Perpaduan tidak dapat mengelakkan daripada menanggung implikasi politik serta berdepan persoalan daripada rakyat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN