'Jadi wakil berpenggal, rakyat tetap naik bot’

‘Jadi wakil berpenggal, rakyat tetap naik bot’

ABU BAKAR ELLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: “Kebanyakan wakil rakyat hari ini tidak pun mewakili suara rakyat dalam membawa perubahan.”

Itu tegas selebriti terkenal era 80-an, Abu Bakar Ellah, 66, yang kembali mencuba nasib dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah selepas dua dekad meninggalkan pentas politik.

Katanya, masih banyak kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Sabah yang jauh ketinggalan walaupun wakil rakyatnya sudah memegang mandat sehingga empat penggal, namun kemajuan asas tetap tidak berubah.

“DUN ini luas seperti sebuah negeri di Semenanjung dengan ada kampung yang perlu naik bot enam hingga tujuh jam. Jalan raya tidak sampai, klinik pun tiada.

“Kalau sakit, sukar dibawa ke hospital. Masih ada yang bergantung pada bidan dan cara tradisional,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Abu Bakar turut mendedahkan ada penduduk terpaksa berbelanja hampir RM1,000 untuk perjalanan pergi-balik semata-mata menguruskan dokumentasi rasmi seperti kad pengenalan.

“Segala-galanya jauh. Wakil rakyat sudah empat penggal, tapi apa yang dibuat?” katanya.

Abu Bakar mengakui kekecewaan terhadap kegagalan menyuarakan isu rakyat di DUN dan Parlimen menjadi pendorong utama bertanding demi membawa perubahan.

“YB dipilih oleh rakyat, tetapi apabila sudah berada di puncak, suara rakyat tidak sampai. Yang sibuk ialah bergaduh. Itu bukan suara rakyat, itu suara ego,” katanya.

Abu Bakar turut menepis dakwaan sekadar menunggang populariti, berikutan beliau juga sudah lama meninggalkan dunia glamor itu.

“Saya ada enam album, saya menyanyi, berlakon, mengarah, jadi pelawak, penerbit dan pengacara. Orang seni sensitif dengan derita rakyat. Melihat kampung yang ketinggalan pun sudah cukup buat kita sebak,” katanya.

Abu Bakar, yang juga turut dikenali dengan nama pentas ‘Ampal’, pernah bertanding sebagai calon bebas pada 2004. Kini beliau kembali sebagai calon Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) di DUN Kuamut.

Abu Bakar berkata, kekalahan lalu tidak pernah mematahkan semangatnya untuk terus perjuangkan hak rakyat.

Katanya, antara isu paling kritikal ialah hak pemilikan tanah, apabila ramai penduduk yang tinggal puluhan tahun masih tidak memperoleh geran, sementara tanah lain pula diluluskan kepada pihak tertentu.

“Di pedalaman, cabaran infrastruktur pula amat ketara. Jika saya dipilih, saya akan pastikan bahawa setiap ketua rumah akan memiliki sebidang tanah yang akan diperturunkan kepada generasi mereka,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN