KOTA BHARU: Pengundi perlu memberi ruang kepada gabungan Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) menambah jumlah kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang berikutan kewujudan blok pembangkang yang lebih besar di DUN Kelantan, mampu mewujudkan sistem semak dan imbang lebih kukuh terhadap pentadbiran kerajaan negeri.
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) negeri, Mohamad Ezzat Zahrim Mohd. Hanuzi berkata, situasi berkenaan memastikan setiap dasar, perbelanjaan dan keputusan kerajaan negeri diteliti dengan lebih telus demi kepentingan rakyat.
“Rakyat berhak mendapat pentadbiran yang bukan sahaja stabil, tetapi juga bertanggungjawab. Alhamdulillah, walaupun pembangkang mempunyai tiga kerusi sahaja, namun rakyat sudah dapat melihat kesannya.
“Bayangkan, jika jumlah kerusi pembangkang bertambah, sudah pastinya suara mereka menjadi lebih kuat sekali gus mampu mengelakkan kerajaan negeri membuat keputusan tanpa penelitian menyeluruh,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Mohamad Ezzat memberitahu, AMK tidak lagi mahu kerajaan negeri membuat dasar atau keputusan menggunakan konsep ‘umum dulu, kaji kemudian’ kerana tindakan itu dibimbangi akan memberikan kesan tidak baik kepada pentadbiran dan rakyat negeri ini.
“Landskap politik yang lebih kompetitif akan membuka ruang kepada kerajaan negeri memperbaiki kelemahan dan memacu pentadbiran yang lebih dinamik serta berpaksikan rakyat.
“Kehadiran pembangkang yang lebih kuat di DUN akan membolehkan isu-isu berkaitan pembangunan, penyelesaian masalah air, penyediaan infrastruktur awam, peluang pekerjaan serta kebajikan rakyat dibahaskan secara lebih menyeluruh tanpa sebarang kekangan,” katanya.
Pada Pilihan Raya Negeri Ke-15 lalu, Pas membentuk kerajaan dengan lebih kukuh apabila menang 42 daripada 45 kerusi DUN dan ia menyaksikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meranti Datuk Mohd. Nassuruddin Daud dilantik sebagai Menteri Besar Kelantan yang ke-19 menggantikan Datuk Ahmad Yakob yang berundur. – UTUSAN










