KOTA BHARU: Kelantan sedang menggubal Rang Undang-Undang (RUU) Pentadbiran Mahkamah Syariah baharu bagi menggantikan Enakmen Pentadbiran Mahkamah Syariah (Negeri Kelantan) 1982.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta negeri, Mohd. Asri Mat Daud berkata, draf pindaan sudah dibentangkan di Mesyuarat Ahli Majlis Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK).
Menurutnya, mesyuarat juga memutuskan penubuhan Jawatankuasa Kerja khusus mengkaji semula penggubalan draf cadangan.
“RUU yang dicadangkan lebih komprehensif. Penggubalan RUU tersebut di peringkat kajian terperinci oleh Bahagian Undang-Undang, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan.
“Di peringkat mahkamah, ia mengambil kira pelaksanaan di negeri-negeri lain dari segi polisi atau perancangan masa hadapan oleh Kerajaan Persekutuan untuk proses penyeragaman dan pemerkasaan Mahkamah Syariah di Malaysia,” katanya menjawab soalan Zameri Mat Nawang (Jelawat- Pas) pada Sidang Dewan Undangan Negeri di Kompleks Kota Darulnaim, di sini hari ini.
Mohd. Asri memberitahu, penggubalan Enakmen Pentadbiran Mahkamah Syariah untuk menggantikan Enakmen Pentadbiran Mahkamah Syariah sedia ada pasca pembatalan 16 Seksyen Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019.
Katanya, ia bagi membuka ruang dan jaminan pelaksanaan keadilan kes syariah melalui institusi kehakiman mahkamah syariah setanding mahkamah sivil.
“Antara aspek pemerkasaan mahkamah syariah dalam penggubalan enakmen ini adalah cadangan peningkatan peringkat mahkamah daripada tiga peringkat kepada empat atau lima peringkat yang kini di peringkat kajian terperinci.
“Peningkatan ini bagi memastikan peluang rayuan kes syariah adalah dua kali iaitu rayuan ke Mahkamah Rayuan Syariah dan Mahkamah Utama Syariah sebagai mahkamah tertinggi,” ujarnya.
Menjawab soalan tambahan Dr. Hafidzah Mustakim (Kota Lama-PH), Mohd. Asri berkata, kerajaan negeri juga mempunyai hubungan dan kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan dalam penggubalan RUU itu.
Media sebelum ini melaporkan, DUN Kelantan sebulat suara meluluskan usul penggubalan semula 16 Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) 2019 yang terbatal dan tidak sah sebagaimana diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan pada 9 Februari lalu. – UTUSAN










