Apa pilihan pengundi Sabah?

Apa pilihan pengundi Sabah?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Para pengundi di Sabah perlu menentukan apa kemahuan mereka pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada 29 November ini.

Biarpun kini mereka berdepan dilema menilai antara menitikberatkan kenegerian atau kemampuan sebenar calon menyelesaikan masalah rakyat dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada 29 November ini.

Kempen yang memasuki hari keempat ini banyak dipacu isu kenegerian, apabila sebahagian pemimpin parti politik mengambil peluang tersebut untuk menarik undi.

Naratif berkenaan turut didorong dengan isu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan tuntutan 40 peratus hasil Sabah yang dimainkan sepanjang kempen, menjadikan ia topik hangat dalam kalangan pengundi.

Namun begitu, di sebalik isu kenegerian, pengundi menekankan bahawa integriti, tadbir urus yang baik dan keupayaan calon menyelesaikan masalah rakyat merupakan asas paling penting dalam membuat pilihan.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, rata-rata rakyat Sabah ada yang mementingkan pembangunan sebagai keutamaan, walaupun mereka tidak menafikan sentimen kenegerian juga wujud dalam minda masyarakat.

AWANGMUDIN ASMAR

Seorang pengundi dari Kudat, Awangmudin Asmar, 52, berkata, ramai penduduk kini semakin memilih calon berdasarkan kemampuan sebenar untuk membawa pembangunan dan bukan sekadar janji.

Katanya, walaupun sesetengah pihak bercakap mengenai manifesto hebat, rakyat tetap menilai sama ada pembangunan itu benar-benar dirasai.

“Kalau ramai mahu pilih, mesti sebab manifestonya yang terbaik. Tetapi kalau sekadar cerita saja, tidak boleh. Pembangunan itu penting, penduduk makin ramai tetapi ramai tidak ada kerja.

“Pilih parti yang perjuangkan pembangunan. Soal kenegerian itu nombor dua. Jangan terlalu sebut ‘kenegrian’ kerana itu boleh pecah-belahkan negeri. Kita sudah merdeka, tidak boleh balik ke situ lagi,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurutnya lagi, pembangunan bukan hanya sekadar bangunan malah pembangunan sebenar membantu rakyat yang masih terpinggir.

“Bangunan banyak pun tiada guna kalau rakyat tidak kerja. Pembangunan yang sebenar ialah membantu rakyat yang terpinggir di kampung-kampung, bukan tambah bangunan di bandar saja,” katanya.

Awangmudin percaya rakyat Sabah tidak sepatutnya perlu berhijrah jauh ke Semenanjung untuk bekerja kerana peluang kerja harus diwujudkan di negeri sendiri.

“Tidak perlu pergi jauh, di negeri sendiri pun banyak peluang kalau benar-benar dibuat. Jangan lagi bangkitkan isu kenegerian, nanti cuma mengundang pergaduhan antara negeri,” katanya.

NAZRI ASLI

Selain itu, bagi mekanik, Nazri Asli, 31, dia menegaskan bahawa pembangunan perlu seiring dengan sentimen kenegerian di Sabah.

“Di Sabah, sentimen kenegerian memang kuat dan tidak boleh dinafikan. Namun begitu, ia mesti disusuli dengan pembangunan yang nyata. Bukan sekadar retorik politik atau janji kosong sahaja.

“Kalau pembangunan dilaksanakan dengan baik, rakyat tempatan dapat merasai manfaatnya, khususnya dari segi pekerjaan, infrastruktur dan kemudahan asas. Dengan cara itu, suara rakyat tempatan juga lebih diberi perhatian, bukannya sekadar simbolik,” katanya.

AMMAR NUR HASAN

Bagaimanapun menurut seorang peniaga, Ammar Nur Hasan, 41, berkata, faktor keaktifan calon dalam masyarakat menjadi ukuran penting dalam menentukan pilihan pengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah kali ini.

“Dalam pilihan raya ini, pengundi lebih cenderung menilai calon berdasarkan keaktifan dan sumbangan mereka kepada masyarakat tempatan, bukan sekadar janji pembangunan besar atau retorik politik,” katanya.

Ammar berkata, walaupun pembangunan fizikal tetap penting, sentimen kenegerian dan hubungan rapat calon dengan komuniti tempatan menjadi penentu utama.

“Pembangunan sebenar perlu memberi manfaat terus kepada rakyat, termasuk peluang pekerjaan dan kemudahan asas, bukannya sekadar infrastruktur fizikal atau bangunan di kawasan bandar,” katanya.

Beliau menambah, calon yang sentiasa terlibat dalam aktiviti masyarakat dan membantu rakyat secara langsung lebih mudah mendapat kepercayaan pengundi.

“Di Sabah, khususnya di kawasan seperti Lahad Datu, pengundi masih menilai calon berdasarkan kesungguhan dan keikhlasan dalam menyumbang kepada masyarakat setempat,” katanya.

RADZMA GAPUR

Bagi seorang suri rumah, Radzma Gapur, 40 berkata, walaupun terdapat ramai calon bertanding, beliau sudah mempunyai calon pilihan sendiri berdasarkan ciri-ciri calon, bukan semata-mata manifesto.

Apabila ditanya sama ada beliau lebih cenderung memilih parti yang menekankan pembangunan atau parti yang memperjuangkan kenegerian, Radzma menjelaskan dia akan memilih parti yang fokus kepada kenegerian.

“Sebab saya tengok dulu dari segi pembawa mereka. Pembangunan itu penting, tapi kadang-kadang ia bercampur dengan isu kenegerian. Jadi, pilihan saya lebih kepada yang menekankan kenegerian,” katanya.

Radzma turut mengakui bahawa walaupun isu pembangunan penting, pilihan pengundi tempatan tidak boleh dipisahkan daripada kepentingan negeri sendiri.

“Tak perlu sebut terlalu banyak tentang pembangunan semata-mata. Yang penting, calon itu faham dan menjaga kepentingan negeri kita,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN