PORT DICKSON: Sentimen pengundi Melayu di Johor dan Negeri Sembilan tidak boleh dibandingkan secara total dalam merumuskan sokongan sebenar rakyat menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) 1 Ogos ini.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, pengundi di negeri ini akan tetap memilih kerajaan PH dalam meneruskan agenda pentadbiran.
“Itu KJ cakap di Johor. Suruh dia berkempen lebih kuat di Negeri Sembilan. Kita tunggu sahaja keputusan yang akan datang. Kita serahkan kepada kebijaksanaan rakyat.
“Jangan samakan orang Johor dengan orang Negeri Sembilan. Mereka mempunyai pilihan masing-masing. Saya berharap masyarakat Melayu tahu membuat pilihan dalam perkara ini.
“Saya serahkan kepada pengundi-pengundi Melayu untuk menentukan dan saya masih yakin mereka akan memberikan sokongan kepada Pakatan Harapan di Negeri Sembilan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat Bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Masjid Qariah Kampung Sawah Sunggala, Linggi, di sini hari ini.
Terdahulu, bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin semasa program ramah mesra di Lenggeng mendedahkan beliau mendapat angka daripada kajian yang dijalankan mengenai keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, baru-baru ini.
Dakwanya, kajian itu mendapati calon-calon PH tidak mendapat 10 peratus undi orang Melayu.
Bekas Menteri Kesihatan itu bagaimanapun tidak menyatakan sumber kajian berkenaan.
Disoal mengenai banyak kajian dan dapatan yang muncul ketika kempen yang baru memasuki minggu pertama, Aminuddin berkata, ia langsung tidak mengganggu fokus jentera PH melaksanakan kempen.
“Kami lebih berfokus dan kami akan lebih kuat untuk menumpukan apa yang mereka katakan.
“Itu hanya kajian, mereka mengambil sampel beberapa nama yang mungkin ada ketepatan sebelum ini. Tetapi kita perlu lihat akar umbi kita, orang Johor dan orang Negeri Sembilan berbeza,” katanya. – UTUSAN










