Amanah mahu satu lagi kerusi PRN Sabah

Amanah mahu satu lagi kerusi PRN Sabah

MOHAMAD Sabu bersama ahli parti pada Konvensyen Nasional 2025 Parti Amanah Negara di Dewan Raja Muda Musa di sini hari ini. - UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Parti Amanah Negara (Amanah) sedang berusaha untuk mendapatkan sekurang-kurangnya satu lagi kerusi untuk ditandingi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan datang.

Presidennya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, rundingan akhir antara parti komponen Pakatan Harapan (PH) dijangka dimuktamadkan menjelang hari penamaan calon pada 15 November ini.

“Kita sedang berusaha untuk mendapat sekurang-kurangnya satu lagi (kerusi). Ketua Setiausaha Pakatan Harapan, Datuk Saifuddin Nasution telah menyampaikan hasrat itu dan mereka akan cuba membuat perundingan akhir menjelang penamaan calon.

“Kalau kami dapat satu sekarang, bagi kami itu satu permulaan. Sekurang-kurangnya Amanah dapat turut serta dalam pilihan raya bersama rakan-rakan lain,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Konvensyen Nasional Amanah 2025 di sini, hari ini.

Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan, Amanah mengesahkan bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sulabayan, dipercayai akan menentang Presiden Parti Warisan (Warisan), Datuk Seri Shafie Apdal.

Pengarah Pilihan Raya parti itu. Mohd. Sany Hamzan berkata, beliau optimis calon yang akan mewakili parti akan mendapat sokongan daripada semua parti dalam Kerajaan Perpaduan termasuk Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Mengulas lanjut, Mohamad turut berkata, Amanah tetap akan menjalankan tanggungjawab terhadap kerusi yang diamanahkan  kepada mereka untuk beroleh kemenangan.

“Setakat ini kami menyebut Sulabayan. Memang satu kerusi yang tough, sukar, tapi itulah pilihan raya. Bila kita diberi amanah, kita akan cuba di mana sahaja tempat yang ditugaskan untuk bertanding,” katanya.

Ditanya mengenai laporan yang mendakwa Shafie akan bertanding di kerusi sama, Mohamad enggan mengulas lanjut dan menyerahkan perkara itu kepada parti berkenaan.

“Saya tak tahu tentang itu, kena tanya pihak Warisan. Siapa pun calon yang diletakkan, Amanah akan cuba hadapi dengan penuh keyakinan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN