SHAH ALAM: Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Saifuddin Abdullah dari Perikatan Nasional (PN) digugurkan daripada jawatan Pengerusi Badan Perhubungan PN Pahang berkuatkuasa hari ini.
Kedudukan beliau digantikan dengan Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man selepas dipercayai secara terbuka mengkritik Presiden Parti Pribumi Bersatu (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, pelantikan tersebut diputuskan menerusi mesyuarat majlis tertinggi parti yang berlangsung malam tadi.
“Pengumuman pelantikan itu selaras dengan tekad parti untuk terus berusaha memperkukuhkan wadah perjuangan sebagai wahana yang inklusif, progresif dan prihatin rakyat,” katanya dalam satu kenyataan.
Semalam, Utusan Malaysia melaporkan, Saifuddin mendesak Muhyiddin berundur daripada jawatan Presiden Bersatu bagi memberi laluan kepada kepimpinan baharu.
Beliau mendawa, kepimpinan baharu diperlukan bagi memperkukuh semula parti dan mengembalikan keyakinan rakyat terhadap Bersatu.
Malah, bekas Menteri Luar Negeri itu turut mendesak, Mohamed Azmin perlu digugurkan daripada jawatan tersebut bagi membersihkan parti daripada isu moral yang menjejaskan reputasi parti.
Majlis Tertinggi PN yang bermesyuarat malam tadi, turut menggugurkan Menteri Besar Perlis, Mohd. Shukri Ramli daripada mengetuai PN Perlis dan digantikan dengan bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim.
Di Johor PN diterajui oleh Datuk Dr. Shahruddin Jamal; Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor juga dilantik sebagai Pengerusi Badan Perhubungan PN Kedah; sementara di Kelantan, Datuk Ahmad Yakob yang juga menteri besar negeri itu juga mengetuai PN di sana.
Sementara bekas timbalan menteri, Datuk Mas Ermiyati Samsudin dilantik sebagai Pengerusi Badan Perhubungan PN Melaka; Mohamed Hanifah Abu Baker (PN Negeri Sembilan) dan bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (PN Perak).
Presiden Parti Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai pula terus mengetuai PN Pulau Pinang sementara bekas Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee (PN Sabah).
Di Selangor, Mohamed Azmin kekal menerajui PN negeri itu, sementara PN Sarawak pula diketuai oleh Jaziri Alkaf Abdillah Suffian, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsudi Mokhtar (PN Terengganu) dan bekas Menteri Pendidikan, Datuk Dr. Mohd. Radzi Md. Jiddin (PN Wilayah Persekutuan). – UTUSAN










