Pertembungan banyak penjuru jejas keyakinan rakyat

Pertembungan banyak penjuru jejas keyakinan rakyat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pertembungan banyak penjuru dalam Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) akan menjejaskan keyakinan rakyat Sabah sekali gus boleh menyebabkan peratusan mengundi keluar rendah berbanding pilihan raya sebelum ini.

Pada PRN Sabah 2020 mencatatkan peratusan keluar mengundi sebanyak 66.61 peratus merangkumi 749,083 orang pengundi yang mengundi di kesemua 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Penganalisis politik dari Universiti Malaysia Sabah (UMS), Profesor Madya Dr. Romzi Ationg berkata, pertembungan banyak penjuru ini akan berupaya menjadikan pengundi semakin terpengaruh dengan cynical syndrome atau sindrom sinis apabila mereka hilang keyakinan tentang niat sebenar calon- calon yang bertanding.

“Senario ini (pertembungan banyak penjuru) memberi pilihan terbuka kepada rakyat. Bagaimanapun, ini boleh menyebabkan jumlah majoriti undi kemenangan calon tertentu mungkin rendah disebabkan pengundi mengundi mengikut citarasa masing-masing.

“Rakyat mungkin beranggapan senario ini membuktikan sesiapa sahaja yang gila kuasa boleh bertanding dan bukan ingin bertanding utk kepentingan rakyat,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

PRN17 ini dijangka lebih sengit dengan 1.78 juta pengundi termasuk kira-kira 662,000 pengundi baharu berdasarkan pemilih setakat Ogos 2025 yang dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada September lalu bakal menentukan kemenangan calon-calon yang bertanding.

Romzi berkata, senario itu dilihat turut mencerminkan perpecahan dalam blok politik sedia ada selain peningkatan minat parti baharu atau calon bebas untuk bertanding dalam PRN kali ini.

“Situasi ini berisiko menghasilkan kerajaan campuran tidak stabil selepas PRN,” katanya.

Sebaliknya Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin optimis dengan keyakinan rakyat untuk menjadikan UMNO BN sebagai parti pilihan rakyat Sabah pada PRN kali ini.

Malah, jelasnya, keyakinan turut mengambil kira kerjasama yang telah dipersetujui bersama Pakatan Harapan.

“UMNO BN memiliki kelebihan yang merupakan parti politik mempunyai ramai ahli di semua 25 bahagian.

“BN bukan hanya sebuah parti tetapi ia adalah sebuah perjuangan, kalau diimbau peristawa PRU-15 yang lalu khusus di Sabah dimana 22 Ketua Bahagian dan lain-lain melompat dan menukar parti. Namun hari ini UMNO Sabah terus bangkit dan mendominasi pelusuk Sabah dengan berbagai-bagai program,” katanya.

Jelas Bung lagi, kekuatan UMNO BN yang mempunyai ramai ahli di 25 bahagian Sabah serta pengalaman dalam pentadbiran kerajaan negeri turut meyakinkan pengundi di negeri itu untuk menjadikan ia sebagai parti pilihan.

Sementara itu, Ketua Penerangan Parti Warisan (Warisan), Datuk Mohd. Azis Jamman berkata, parti itu yakin dengan kuasa rakyat yang inginkan perubahan sebenar.

“Langkah itu dilihat sebagai permulaan bab baharu untuk rakyat Sabah menentukan masa depan rakyat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN