PETALING JAYA: Kemenangan calon pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah bukan ditentukan oleh faktor jantina, sebaliknya lebih bergantung kepada latar belakang etnik yang mampu memberi kelebihan besar kepada sesuatu parti untuk menang.
Pensyarah Pusat Perdana Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr. Mazlan Ali berkata, faktor elemen etnik dan pengaruh setempat lebih berperanan besar dalam menentukan hala tuju pengundi.
Katanya, meletakkan calon bertanding mengikut faktor jantina lebih efektif di Semenanjung manakala di Sabah banyak dipengaruhi oleh faktor etnik.
“Kalau dia (calon) orang Suluk bertanding di kawasan orang Suluk, dia boleh menang walaupun dia itu calon bebas. Dia tidak kesah mana-mana parti. Itu budaya di Sabah.
“Letak lelaki atau wanita, kesannya sama sahaja. Dalam politik Sabah, yang lebih penting ialah sejauh mana calon itu boleh memanfaatkan faktor tempatan dan etnik untuk meraih sokongan pengundi,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sebelum ini, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dijangka mempertaruhkan calon wanita baharu pada PRN Sabah seiring dengan komitmen parti untuk mencapai sasaran iaitu sekurang-kurangnya 30 peratus penyertaan calon wanita dalam politik arus perdana.
Mengulas mengenai strategi meletakkan calon wanita oleh PKR, Mazlan berkata, strategi ini mungkin memberi nilai tambah dari segi imej dan komitmen terhadap kesaksamaan jantina, namun secara praktikalnya ia bukan jaminan kemenangan dalam landskap politik Sabah.
“Ia langkah positif dari segi dasar dan representasi wanita dalam politik arus perdana, tetapi dalam realiti pilihan raya Sabah, faktor ini bukan penentu utama,” katanya.
Penganalisis politik, Dr. Azmi Hassan pula berkata, meletakkan calon wanita dalam PRN Sabah merupakan satu strategi yang agak ekstrem memandangkan bilangan Ahli Parlimen atau ADUN wanita di negeri itu masih rendah.
Katanya, politik di Sabah lebih tertumpu kepada karakter individu calon berbanding faktor jantina, dan secara realitinya, calon lelaki mempunyai kelebihan berbanding wanita.
“Kalau meletakkan calon wanita yang biasa-biasa sahaja, ia mungkin sukar untuk menang. Strategi itu bukan sahaja tidak memberi kelebihan, malah boleh memberi kesan negatif kepada parti,” katanya. – UTUSAN










