DUN Sabah bubar

DUN Sabah bubar

HAJIJI Noor mengadakan pertemuan dengan Musa Aman di Istana Negeri, Kota Kinabalu, Sabah, pagi semalam. – IHSAN ISTANA NEGERI SABAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah dibubarkan berkuat kuasa semalam bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (Sabah) Ke-17 (PRN17).

Perkara itu diumumkan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Nor semalam selepas mendapat perkenan daripada Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman.

“Ia sekali gus memberi kuasa kepada rakyat Sabah menggunakan hak demokrasi mereka dan siapa yang akan memimpin mereka kelak.

“Keputusan ini juga mencerminkan komitmen kami terhadap proses demokrasi dan Perlembagaan,” katanya pada sidang akhbar khas di Menara Kinabalu, Kota Kinabalu, Sabah semalam.

Hajiji berkata, sepanjang tempoh lima tahun lalu, kerajaan negeri sudah melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan penuh kesungguhan bagi membawa perubahan dan pertumbuhan ekonomi yang bermakna.

“Melalui pelan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya yang holistik dan inklusif, kami telah menetapkan Sabah pada landasan transformasi yang jelas, sejak menerajui negeri ini pada September 2020.

“Ia berpandukan tiga tonggak utama. Pertama, pertanian, sektor industri dan pelancongan. Kedua, modal insan dan kesejahteraan rakyat serta ketiga, jaringan infrastruktur dan kelestarian hijau. Pelan hala tuju ini mencapai kemajuan yang signifikan,” katanya.

Berdasarkan laman web rasmi Pejabat Pilihan Raya Negeri Sabah, jumlah daftar pemilih terkini setakat Ogos lalu, adalah seramai 1.78 juta pengundi.

Hajiji memimpin Gabungan Rakyat Sabah (GRS) kini bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) bersama Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO).

Di blok pembangkang, parti-parti lain adalah Warisan; Barisan Nasional; Perikatan Nasional (Parti Pribumi Bersatu Malaysia dan Pas) serta Parti Kesejahteraan Demokratik Malaysia (KDM).

DUN Sabah akan terbubar secara automatik pada 11 November ini, selaras dengan peruntukan Perlembagaan Negeri.

Sebelum ini, spekulasi DUN dibubar bertiup kencang apabila beberapa pemimpin Sabah membayangkan perkara itu berlaku dalam masa terdekat.

Sebanyak 73 kerusi dipertandingkan dalam PRN Sabah Ke-16 pada 2020 dengan parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menguasai majoriti kerusi dan membentuk kerajaan negeri.

Sementara itu, Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) mengambil maklum berhubung dengan pengumuman pembubaran DUN Sabah semalam.

SPR dalam kenyataan semalam berkata, pihaknya telah bersiap sedia untuk
melaksanakan pilihan raya sebagaimana diperuntukkan di bawah Perkara 21 Fasal (4), Perlembagaan Negeri Sabah.

Satu Mesyuarat Khas untuk membincangkan tarikh-tarikh penting bagi PRN17 akan diadakan pada tarikh yang akan dimaklumkan kemudian. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN