DUN Sabah lulus RUU Perbekalan Tambahan 2026 berjumlah RM1.6 bilion

DUN Sabah lulus RUU Perbekalan Tambahan 2026 berjumlah RM1.6 bilion

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan Tambahan 2026 membabitkan peruntukan sebanyak RM1.6 bilion bagi menampung keperluan perbelanjaan tambahan kerajaan negeri sehingga akhir tahun ini.

RUU itu diluluskan sebulat suara selepas dibahaskan oleh 42 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, Anggaran Peruntukan Tambahan (ASP) itu merupakan mekanisme kewangan yang diperuntukkan di bawah tatacara pengurusan kewangan kerajaan bagi memenuhi keperluan perbelanjaan yang tidak dapat ditentukan sepenuhnya ketika Belanjawan 2026 disediakan.

Menurut beliau, pembentangan ASP itu tidak seharusnya ditafsirkan sebagai kegagalan atau kelemahan dalam perancangan Belanjawan 2026 yang dibentangkan pada Disember tahun lalu.

“Belanjawan tahunan disediakan selaras dengan dasar, keutamaan, unjuran hasil, keperluan perbelanjaan dan maklumat terbaik yang tersedia pada ketika itu.

“Dalam hal ini, setiap permohonan tambahan perlu melalui proses penelitian dan penilaian berdasarkan keperluan sebenar, prestasi perbelanjaan, kemampuan kewangan kerajaan serta kepentingannya kepada penyampaian perkhidmatan dan kesejahteraan rakyat.

“Justeru, ASP yang dibentangkan ini mencerminkan keupayaan kerajaan untuk bertindak secara responsif dan bertanggungjawab terhadap perubahan keperluan semasa tanpa mengetepikan prinsip disiplin fiskal, akauntabiliti dan tatakelola kewangan yang baik,” katanya ketika menggulung perbahasan pada persidangan DUN Sabah, hari ini.

Semalam, Masidi ketika membentangkan RUU itu memaklumkan peruntukan tambahan berjumlah RM1.6 bilion tersebut melibatkan 53 kepala perbelanjaan yang diperincikan dalam Jadual Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan 2026.

Daripada jumlah itu, sebanyak RM856 juta diperuntukkan bagi caruman kepada kumpulan wang berkanun, diikuti RM278 juta untuk perbelanjaan operasi, RM210 juta bagi tujuan pelaburan, RM162 juta untuk perbelanjaan pentadbiran, RM93 juta bagi pemberian dalam negeri dan RM13 juta sebagai peruntukan khas.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, Penyata Tambahan Anggaran Pembangunan 2026 turut membabitkan permohonan peruntukan tambahan sebanyak RM435.54 juta melibatkan 35 kepala perbelanjaan di bawah sembilan kementerian.

Katanya, daripada jumlah tersebut, RM216.34 juta atau 49.7 peratus dibiayai menerusi Kumpulan Wang Negeri, manakala RM219.20 juta atau 50.3 peratus lagi membabitkan pembiayaan melalui Pinjaman Persekutuan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN