Hajiji umum pembubaran DUN Sabah

Hajiji umum pembubaran DUN Sabah

HAJIJI Noor mengadakan pertemuan dengan Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman di Istana Negeri, Kota Kinabalu, Sabah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor hari ini mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah berkuat kuasa serta-merta bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17).

Menurut Hajiji, beliau telah menghadap Yang Dipertua Negeri, Tun Musa Aman, bagi menasihatkan pembubaran DUN Sabah ke-16 dan menerima perkenan bagi tujuan itu.

“Dengan pembubaran ini, rakyat kini diberi kuasa untuk menunaikan hak demokrasi mereka dalam menentukan siapa yang akan memimpin negeri ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Perjumpaan bersama Ahli-Ahli Yang Berhormat Kerajaan Negeri di Dewan Bankuasi, Menara Kinabalu, di sini, hari ini.

Hajiji berkata, keputusan membubarkan DUN mencerminkan komitmen kerajaan terhadap prinsip demokrasi dan perlembagaan negeri.

“Dalam tempoh lima tahun lalu, kerajaan telah bekerja keras membawa pembangunan dan pertumbuhan ekonomi mampan melalui pelaksanaan Pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang bersifat holistik serta inklusif,” katanya.

Beliau menegaskan, tiga tonggak utama pelan itu — iaitu pembangunan sektor pertanian, pelancongan, modal insan serta kesejahteraan rakyat, selain infrastruktur dan kelestarian — telah menunjukkan hasil positif.

Katanya, kerajaan juga mengambil langkah berani menyelesaikan isu berlarutan seperti bekalan air, elektrik dan infrastruktur asas.

“Kami telah melaksanakan beberapa projek besar bagi menangani cabaran yang diwarisi sejak sekian lama, demi kesejahteraan rakyat Sabah,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN