KOTA KINABALU: Spekulasi mengenai tarikh pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah terus menjadi tanda tanya apabila ramai menjangka ia akan diumumkan pada Jumaat, sama ada 3 Oktober atau 10 Oktober ini.
Bagaimanapun, sehingga kini hanya Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor yang mengetahui tarikh sebenar pembubaran tersebut.
Pesuruhjaya Pas Sabah, Datuk Dr. Aliakbar Gulasan berkata, berdasarkan pertemuan bersama Ketua Menteri baru-baru ini, Hajiji hanya memberi bayangan bahawa pembubaran akan dibuat sebelum pertengahan Oktober, tetapi tidak mendedahkan tarikh sebenar.
“Boleh jadi Jumaat, tapi Jumaat yang mana kita tidak tahu. Apa yang pasti, pembubaran tidak akan lari jauh, dalam tempoh seminggu dua ini juga ia akan dibuat,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai spekulasi tarikh pembubaran DUN Sabah yang dijangkakan dibuat pada Jumaat ini (3 Oktober) atau selewat-lewatnya 10 Oktober.
Menurutnya, ramai sudah menunggu pengumuman pembubaran sejak beberapa minggu lalu.
“Dari bulan Julai lagi, setiap kali Jumaat ada yang menunggu, tetapi masih belum dibubar,” ujarnya.
Sementara itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menegaskan pihaknya hanya akan mengumumkan DUN terbubar selepas menerima notis rasmi daripada Speaker DUN Sabah.
Jurucakap SPR memaklumkan, pihaknya itu tidak mempunyai kuasa untuk menasihati Speaker atau Kerajaan Negeri bila masa sesuai bagi membubarkan DUN.
“SPR hanya bertindak selepas menerima notis pembubaran.
“Setakat Ogos lalu, jumlah daftar pemilih terkini di Sabah ialah 1,786,113 orang, manakala di Wilayah Persekutuan Labuan seramai 47,429 orang,” katanya.
Sebelum ini, Hajiji memberi bayangan bahawa DUN Sabah akan dibubarkan pada bulan Oktober bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17 diadakan lebih awal, sebelum penggal semasa tamat pada 11 November ini. – UTUSAN










