KUALA LUMPUR: Status Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz kini menjadi tanda tanya apabila tempoh perkhidmatannya sebagai Ahli Dewan Negara akan berakhir pada Disember tahun ini.
Dalam masa yang sama, beliau yang kini selaku Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) juga tidak lagi akan memegang jawatan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).
Tengku Zafrul memulakan penggal kedua sebagai Ahli Dewan Negara pada Disember 2022, yang merupakan jumlah maksimum penggal yang dibenarkan.
Bercakap kepada Mingguan Malaysia, beliau bagaimanapun berkata akan berbincang dengan Perdana Menteri mengenai hala tuju dan peranannya dalam karier politik mendepani Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Menurut beliau, karier politiknya tidak akan tamat meskipun tempoh senator akan berakhir pada awal Disember tahun ini.
Katanya, beliau akan kekal aktif dalam politik khususnya di cabang PKR Ampang, di samping memilih untuk fokus dalam bidang korporat dan Presiden BAM meskipun sudah tidak berada dalam kerajaan.
“Hasrat saya sendiri buat masa ini adalah mencari platform yang betul-betul sesuai untuk saya beri sumbangan. Terus terang, saya belum membuat keputusan muktamad lagi, tetapi dalam tempoh dua bulan akan datang saya perlu fikir dengan lebih serius.
“Mengenai peranan saya, mungkin selepas ini saya akan lebih vokal. Dahulu, lebih fokus kepada kerja teknikal dan strategi. Tetapi, saya sedar perlunya saya lebih lantang menyuarakan isu, terutama dalam konteks kerajaan. Itu juga memerlukan strategi komunikasi yang baik,” katanya.
Dalam pada itu, Tengku Zafrul menolak dakwaan bahawa pilihan raya sama ada di peringkat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) akan diadakan bagi memberi laluan kepadanya untuk bertanding, sekali gus menepis cakap-cakap beliau bertanding di Ampang.
Sebaliknya, beliau meletakkan syarat penyertaan dalam PKR bukan untuk bertanding pilihan raya di samping tempoh parlimen yang tinggal dua tahun sahaja lagi menjelang PRU-16.
“Itu (kerusi Parlimen) terpulang kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri dan Presiden PKR (Datuk Seri Anwar Ibrahim). Setakat ini, tidak ada perjanjian yang saya akan diberi peluang untuk bertanding,” katanya.
Ketika ditanya sama ada beliau mendapat restu daripada cabang PKR Ampang untuk bertanding di situ, Tengku Zafrul mengakuinya sambil menjelaskan beliau kini aktif di kawasan tersebut.
Namun begitu katanya, ia tidak memberi makna yang beliau akan bertanding di cabang Ampang.
“Ya dapat restu. Sebelum saya menyertai parti, saya sudah bertemu dengan ramai pihak termasuk beberapa ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan pimpinan cabang. Ramai kenalan daripada cabang-cabang yang saya temui.
“Namun perlu ditegaskan, tiada sebarang perjanjian dengan presiden yang saya akan diberi peluang bertanding PRU akan datang,” katanya. – UTUSAN










