PETALING JAYA: Selepas dua tahun berturut-turut wakil negara berjaya membawa pulang sekurang-kurangnya satu gelaran, namun pada edisi kali ini Kejohanan Badminton Malaysia Masters 2026 menyaksikan tuan rumah tanpa sebarang gelaran juara.
Malaysia masih mempunyai wakil daripada beregu profesional yang menghuni ranking No. 9 dunia, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani, tetapi, malangnya mereka tewas pada perlawanan akhir di tangan beregu Denmark, Daniel Lungaard-Mads Vestergaard, kelmarin.
Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, sokongan yang diterima daripada penyokong tempatan berkelas dunia tetapi prestasi yang dipamerkan olah barisan pemain Malaysia belum sampai ke tahap tersebut.
“Malaysia Masters kali ini bukan keputusan yang kita harapkan. Sokongan penyokong memang luar biasa. Stadium penuh, sorakan tak henti. Itu kekuatan kita.
“Sebab itu kita kena jujur. Sokongan dah level (tahap) dunia tapi prestasi kita kali ini belum sampai tahap itu,” katanya dalam kenyataan di media sosial di sini, semalam.
Menurut beliau, alasan sahaja tidak mencukupi, para pemain perlu reset dan fokus semula serta kembali kepada asas disiplin, konsisten dan mentaliti untuk menang di pentas tertinggi.
Tengku Zafrul berkata, penambahbaikan akan dilaksanakan, termasuk memperkemas pendekatan latihan dan memperkukuh fokus untuk kejohanan akan datang.
“Semua pihak kena ambil tanggungjawab. Pemain, jurulatih dan pengurusan. Dalam sukan elit, nama sahaja tak cukup. Prestasi mesti konsisten. Teruskan berjuang. Kita belum selesai,” tegas beliau.
Pada edisi kali ini, Malaysia sepatutnya mampu membawa pulang gelaran dengan kehadiran beregu lelaki No. 2 dunia, Aaron Chia Soh Wooi Yik dan juga juara dunia gandingan campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei.
Namun, malangnya mereka tewas kepada lawan masing-masing di separuh akhir dan suku akhir, sementara, juara edisi 2025, Man Wei Chong-Tee Kai Wun tidak beraksi kerana cedera, begitu juga Pearly Tan-M. Thinaah yang tidak cergas. – UTUSAN










