KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz akan dipanggil sebagai saksi pendakwaan ke-11 dalam perbicaraan kes membabitkan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 6 Julai ini.
Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharudin Wan Ladin mengesahkan perkara itu selepas ditanya oleh Hakim Mahkamah Tinggi, Noor Ruwena Md Nurdin.
Pada prosiding hari ini, Penolong Pendaftar Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), R. Harshini telah dipanggil dan selesai memberi keterangan sebagai saksi pendakwaan ke-10.
Sejurus perkara itu diberitahu, peguam bela, Datuk Amer Hamzah Arshad yang mewakili Muhyiddin atau nama sebenarnya Mahiaddin Md. Yasin memaklumkan bahawa pihaknya masih belum menerima penyataan saksi Tengku Zafrul.
Tambah peguam itu, pihaknya memerlukan dokumen terbabit untuk diteliti bagi memudahkan sesi soal balas.
Sehubungan itu, Wan Shaharudin menyatakan pihaknya akan menyerahkan penyataan saksi Tengku Zafrul kepada pembelaan pada 20 Jun ini.
Sementara itu, melihat kepada jumlah saksi pendakwaan yang masih ramai belum dipanggil memberi keterangan, Hakim Noor Ruwena mengharapkan agar kes peringkat pendakwaan dapat diselesaikan selewat-lewatnya pada 14 September ini.
“Saya rasa Tan Sri (Muhyiddin) juga ingin kes ini dapat diselesaikan segera,” kata hakim itu.
Pada ketika ini, masih terdapat 25 orang saksi yang masih belum dipanggil memberi keterangan.
Mengikut pertuduhan, Muhyiddin ketika memegang jawatan Perdana Menteri dan Presiden Bersatu didakwa atas empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM225.3 juta daripada tiga syarikat antaranya Nepturis Sdn. Bhd. dan Mamfor Sdn. Bhd. serta Datuk Azman Yusoff bagi parti Bersatu.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra di Putrajaya antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan, atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Ahli Parlimen Pagoh itu turut berdepan tiga pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM200 juta daripada sebuah syarikat yang dimasukkan ke akaun Ambank dan CIMB Bank milik Bersatu di cawangan bank berkenaan di Petaling Jaya dan Kuala Lumpur antara Februari 2021 dan Julai 2022. antara Februari 2021 dan Julai 2022.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 4(1)(b) dibaca bersama Seksyen 87(1) AMLATFPUAA 2001 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama, membawa hukuman penjara maksimum 15 tahun dan juga boleh didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi. – UTUSAN










