Pemimpin PN diingatkan jangan kecam sesama sendiri

Pemimpin PN diingatkan jangan kecam sesama sendiri

DOMINIC Lau Hoe Chai (tengah) ketika menghadiri Persidangan Perwakilan Parti Gerakan Pulau Pinang di George Town, Pulau Pinang, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Para pemimpin dan ahli parti komponen membentuk gabungan Perikatan Nasional (PN) diingatkan supaya tidak saling mengecam, sebaliknya, memberi tumpuan kepada usaha menewaskan pihak lawan dalam Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) nanti.

Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai berkata, sebarang perbezaan pandangan dalam parti politik merupakan perkara biasa, namun, ia perlu diselesaikan secara dalaman tanpa menjejaskan kekuatan gabungan.

“Musuh berada di luar sana, bukan di dalam. Politik berbeza pandangan memang biasa kerana kita manusia. Tetapi, semua itu mesti diselesaikan secara dalaman. Kita perlu fokus untuk menyerang pihak luar,” katanya selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Parti Gerakan Pulau Pinang, hari ini.

Ketika ini, Dominic dilihat antara pemimpin Gerakan yang sering menjadi sasaran kritikan daripada pemimpin komponen parti PN terutamanya Pas. 

Sebagai contoh, pada Muktamar Pas Pusat kali ke-71 di Alor Star, Kedah baru-baru ini, nama Dominic menjadi sebutan apabila perwakilan Pas Pulau Pinang, Muhammad Hafis Alias mendakwa, pemimpin itu langsung tidak mengambil peduli terhadap nasib 11 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di negeri itu.

Mengulas lanjut, Dominic yang juga Pengerusi PN Pulau Pinang berkata, perbezaan pandangan tidak harus membawa kepada kecaman terbuka, sebaliknya, ia perlu diurus dengan bijaksana demi matlamat lebih besar iaitu menuju ke arah membentuk kerajaan di Putrajaya.

“Jika nak menuju ke Putrajaya, parti komponen mesti saling hormat-menghormati kepada semua pemimpin-pemimpin dan saya percaya, kita ada kebijaksanaan yang boleh digunakan untuk selesaikan apa sahaja perbezaan dalam PN,” katanya.

Ditanya mengenai mengapa dirinya sering menjadi mangsa kecaman terutamanya daripada pemimpin Pas, Dominic mendakwa bahawa beliau tidak mengetahui mengapa perkara itu berlaku.

“Saya pun tak tahu kenapa selalu jadi sasaran. Mungkin ada salah faham atau kurang faham. Tetapi, itu bukan isu besar. Yang lebih penting sekarang ialah fokus kepada PRN Sabah dan PRU-16,” katanya yang berharap semua parti komponen dalam PN dapat menjaga hubungan baik dan memberi penghormatan kepada setiap pemimpin bagi memastikan perbezaan pandangan dapat diselesaikan dengan kebijaksanaan.

Sementara itu, Dominic berkata, tumpuan utama Gerakan ketika ini ialah memastikan bahawa parti itu berjaya memenangi sekurang-kurangnya satu kerusi pada pilihan raya akan datang.

Katanya, strategi parti tidak akan didedahkan secara terbuka, namun Gerakan akan mengenal pasti kerusi sasaran yang boleh dimenangi selepas ini.

“Kita tidak mahu bertanding banyak kerusi tetapi kalah semua. Fokus kita ialah menang kerusi strategik dengan sokongan komponen serta pengundi. Itu lebih penting,” ujar beliau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN