SHAH ALAM: Isu calon Perdana Menteri tidak sepatutnya menjadi perdebatan kerana perkara itu hanya akan diputuskan jika Perikatan Nasional (PN) memenangi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Ketua Penerangan Srikandi Parti Pribumi Malaysia (Bersatu), Nurul Syazwani Noh berkata, perkara itu akan ditentukan secara konsensus dalam Mesyuarat Majlis Presiden PN sebelum dipersembahkan untuk mendapat perkenan daripada Yang di-Pertuan Agong.
“Kuasa tertinggi melantik Perdana Menteri adalah mutlak milik Yang di-Pertuan Agong seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Justeru, sekarang bukan masanya kita berbalah mengenai soal siapa calon Perdana Menteri,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Jelasnya, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika ini merupakan calon daripada parti itu dan bukannya calon rasmi PN.
“Saya kekal setia kepada Presiden dan kepimpinan Bersatu. Hanya dengan Bersatu yang kukuh, PN akan menjadi lebih kuat. Kemenangan bukan datang dengan slogan namun apabila kita betul-betul bekerja, menyakinkan rakyat dan buktikan PN adalah pilihan terbaik,” ujarnya.
Tambah Nurul, keutamaan kini adalah memperkukuhkan sokongan rakyat dengan turun padang dan menyelesaikan masalah mereka.
“Ini masa untuk kita bangkit dan buktikan kerana dalam PRU16 adalah gelanggang penentu. Kita lawan bukan untuk diri kita namun demi rakyat, negara serta generasi masa depan,” katanya.
Pada Ahad lalu, Mingguan Malaysia melaporkan Bersatu menyokong kepimpinan Muhyiddin yang juga Presidennya dan mencalonkan beliau sebagai Perdana Menteri ke-11.
Keputusan itu dicapai menerusi Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) kali kelapan parti yang disokong sebulat suara perwakilan dan mewakili majoriti ahli.
Mana-mana parti dalam PN juga boleh melakukan perkara sama dalam Perhimpunan Agung masing-masing kerana ia keputusan sah dari segi undang-undang berbanding melalui kenyatan media atau platform lain.
Bagaimanapun, Isu itu menjadi perdebatan dan reaksi pelbagai pihak termasuk berkaitan wujud Akuan Bersumpah (SD) mendesak Muhyiddin supaya berundur.
Namun, Bersatu menyifatkan SD itu tidak relevan dan tiada tempat dalam perlembagaan parti bagi menentukan kedudukan jawatan yang dipilih secara sah dalam persidangan di peringkat Bahagian serta PAT. – UTUSAN