Pemuda Pas Selangor cadang Sanusi jadi Pengerusi PN

Pemuda Pas Selangor cadang Muhammad Sanusi jadi Pengerusi PN

Sanusi Pengerusi PN
MUHAMMAD SANUSI MD. NOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Pemuda Pas Selangor mencadangkan Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor sebagai pemimpin yang layak mengetuai Perikatan Nasional (PN) menggantikan bekas Pengerusi, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ketua Dewan Pemuda Pas Selangor, Mohamed Sukri Omar berkata, Menteri Besar Kedah itu dianggap sebagai pemimpin yang berani mempertahankan hak rakyat khususnya di negeri itu dan tidak takut menyuarakan tuntutan hak Kedah.

“Beliau membuktikan keupayaannya sebagai seorang pemimpin yang berpengalaman mentadbir, khususnya melalui rekod pentadbiran di Kedah. Beliau berani mempertahankan hak rakyat negerinya, malah konsisten dan tidak takut menyuarakan tuntutan hak Kedah seperti isu royalti air mentah biarpun mendapat tentangan ramai pihak termasuk kerajaan pusat.

Memuatkan artikel berkaitan…

“PN perlu dipimpin seseorang yang mempunyai keberanian dan tidak retorik seperti Muhammad Sanusi. Tidak cukup sekadar lantang bersuara, Muhammad Sanusi juga mempunyai karakter unik tersendiri yang mampu diterima setiap lapisan masyarakat dan latar belakang,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Tambahnya, hubungan kukuh beliau dengan rakyat dan akar umbi, terutamanya dalam kalangan anak muda, sangat memberi nilai tambah kepada imej PN terhadap golongan itu bagi menghadapi cabaran politik mendatang.

“Dewan Pemuda PAS Selangor memberikan sokongan penuh dan terbuka terhadap pencalonan Muhammad Sanusi. Sokongan itu dibuat berasaskan keperluan mendesak PN untuk meniup nafas baharu kepemimpinan, selari dengan realiti politik semasa dan cabaran besar dihadapi rakyat serta negara,” jelasnya.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Ahmad Yahaya dilapor bersetuju dengan cadangan supaya Muhammad Sanusi boleh dipertimbangkan untuk mengetuai PN.

Mohamed Sukri berkata, sokongan terhadap Muhammad Sanusi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri itu tidak bermakna Dewan Pemuda PAS Selangor menafikan segala jasa yang dicurahkan Muhyiddin Yassin.

“Namun, kita tidak boleh terus dibuai nostalgia. PN memerlukan kesinambungan yang lebih segar kepada rakyat dan negara.

“Muhammad Sanusi menunjukkan keteguhan prinsip dan keberanian mempertahankan kebenaran, walaupun berhadapan pelbagai serangan politik dan persepsi. PN sangat mendambakan jurubicara pembangkang yang tegas, berani dan konsisten menegur kelemahan kerajaan demi kepentingan rakyat tanpa gentar,” tegasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN