Kampung Papan: Penduduk nafi tolak tawaran rumah RM99,000

Kampung Papan: Penduduk nafi tolak tawaran rumah RM99,000

Rumah RM99000
S. Arutchelvan bersama Teoh Ah Guat (empat, kanan) bersama penduduk Kampung Papan pada sidang akhbar jawatankuasa bertindak penduduk, dekat Pandamaran, di Klang, Selangor, hari ini. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Kira-kira 70 pemilik rumah di Kampung Papan, Pandamaran di sini termasuk 29 yang dirobohkan menafikan mereka menolak tawaran pembelian rumah berharga RM99,000 sejak 2003.

Sebaliknya, mereka mendakwa tawaran tersebut tidak diikat dengan sebarang dokumen hitam putih atau perjanjian yang meyakinkan akan memperoleh rumah berkenaan apabila berpindah keluar bagi memberi laluan pembangunan di kawasan itu.

Seorang penduduk, Teoh Ah Guat, 63, berkata, penduduk mendakwa mereka bersetuju dan mahu berbincang tentang tawaran tersebut sebelum menerima makluman daripada Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) berkenaan perkara itu pada 2018.

“Betul ada tawaran, tetapi kita tidak tolak, kita mahu bincang. Kita diminta pergi ke MTES, ada surat. Mereka kemudian keluarkan surat kata kita setuju. Maknanya kita nampak kerajaan berjanji setuju (tawar rumah tersebut).

“(Cuma), tawaran itu adalah rumah berkeluasan 1,400 kaki persegi, kita kena beli. Bukan free. Semua sudah runding, sudah cakap muktamad. Cuma rumah itu (sekarang) tidak dibuat, kemudian kita dibawa ke mahkamah,” katanya ketika ditemui pada sidang akhbar jawatankuasa bertindak penduduk Kampung Papan, hari ini.

Bagaimanapun, menerusi hansard Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pada 2015, seramai 181 penama setinggan Jalan Papan yang wajar dilapor ditawarkan penempatan rumah kos sederhana dengan harga tawaran RM 99,000.00.

Bagaimanapun, penduduk dilaporkan membantah apabila Majlis Perbandaran Klang (kini Majlis Bandaraya Diraja Klang) membuat tawaran kepada penduduk di sana pada awal 2003.

Mereka dikatakan mengemukakan permintaan dan syarat untuk dipertimbangkan oleh kerajaan negeri.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM), S. Arutchelvan memaklumkan, persoalan berkenaan tawaran rumah berharga RM99,000 itu perlu dilontarkan kepada Menteri Besar.

“Apa sudah jadi dalam mesyuarat MTES, dua Menteri Besar sebelum ini iaitu (Allahyarham Tan Sri) Abdul Khalid Ibrahim dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali. Dalam mesyuarat tersebut pada 28 Februari 2018, kerajaan negeri setuju bina.

“Sebelum tawaran rumah RM99,000 itu, terdapat tawaran rumah berharga RM42,000, sebahagian penduduk sudah ambil, mereka yang tidak setuju pula ditawarkan rumah RM99,000,” jelasnya.

Katanya lagi, beliau mengakui penduduk di sana merupakan peneroka bandar (setinggan) tidak mempunyai geran, sebaliknya diberikan lesen penempatan sementara (TOL).

Utusan Malaysia pada bulan lalu melaporkan syarikat Melati Ehsan Consolidated Sdn. Bhd. (MECSB) bersedia menyerahkan tanah seluas kira-kira 2.8 hektar dan beberapa lot bagi menyelesaikan isu perobohan rumah penduduk dekat Kampung Papan.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pemaju kemudian bersetuju untuk menyerahkan tanah seluas kira-kira 2.8 hektar untuk dibangunkan oleh kerajaan negeri bagi peneroka Kampung Papan itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN