Penjawat awam dinasihat berhati-hati dengan agensi menyamar koperasi

Penjawat awam dinasihat berhati-hati dengan agensi menyamar koperasi

Penjawat awam koperasi
ABDUL Fattah Abdullah ditemui pemberita pada Majlis Makan Malam dan Pelepasan Konvoi Trans ASEAN Madani TMM2026, di Shah Alam, Selangor, malam tadi. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Penjawat awam dinasihatkan supaya berhati-hati dengan agensi atau syarikat yang mendakwa mereka sebagai koperasi bagi menawarkan perkhidmatan kewangan seperti pinjaman peribadi.

Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia (Angkasa), Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah berkata, penjawat awam yang benar-benar memerlukannya disarankan supaya menyemak dengan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) bagi menentusahkan mereka adalah koperasi berdaftar.

“Situasi tersebut sering timbul pada setiap awal tahun apabila penjawat awam menerima kenaikan gaji tahunan, kemudian terdapat musim perayaan dan pembukaan musim persekolahan baharu. Jadi penjawat awam banyak fikir (keperluan kewangan).

“Jadi kita nasihatkan mereka rujuk semula SKM dan juga Angkasa sekiranya agensi berkenaan kononnya menawarkan perkhidmatan kewangan, betul-betul koperasi. Sebab kita tak boleh kawal, zaman sekarang mereka (agensi terbabit) lebih pandai. Justeru, jangan mudah terpengaruh,” katanya ketika ditemui, malam tadi.

Beliau berkata, Angkasa turut membuat pembersihan dan pemutihan terhadap keanggotaan koperasi di bawah naungannya, namun urusan senarai hitam, tindakan dan sebagainya diserahkan kepada SKM.

“Bagi Angkasa, kita menaungi sema koperasi yang berada di Malaysia apabila pendaftaran dibuat kepada SKM. Selepas itu barulah mereka boleh menjadi ahli Angkasa dan mengambil bahagian dalam aktiviti-aktiviti dianjurkan oleh Angkasa.

“Bagaimanapun, koperasi yang bernaung di bawah Angkasa setakat ini tidak mempunyai masalah, isu yang timbul apabila terdapat agensi bukan koperasi tetapi mendakwa sebagai koperasi.

“Kita ada tata kerja atau tadbi urus yang ketat, memang orang kata dalam pemantauan, terutama sekali oleh SKM,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN