Konvoi Trans ASEAN Madani rentas empat negara

Konvoi Trans ASEAN Madani rentas empat negara

Konvoi ASEAN
ABDUL Fattah Abdullah mengibarkan bendera Malaysia sebagai simbolik pelepasan Konvoi Konvoi Trans ASEAN Madani TMM2026, di Shah Alam, Selangor, malam tadi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Seramai 76 anggota dari pelbagai agensi koperasi menyertai Konvoi Trans ASEAN Madani yang memulakan perjalanannya pada malam tadi bagi merentasi empat negara termasuk Malaysia, Thailand, Laos dan Kemboja.

Perjalanan selama 15 hari itu akan menempuh jarak sejauh lebih 7,000 kilometer (km) anjuran Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa), Persatuan Alumni Program Persahabatan ASEAN-Jepun Abad Ke-21, Malaysia (Pamaja) bersama Koperasi Perumahan Awam Malaysia Berhad (Kopama) yang juga bertujuan mempromosikan Program Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026.

Presiden Angkasa, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah berkata, ia merupakan program julung kali diadakan anjuran badan-badan koperasi dalam menyemarakkan semangat ASEAN terutama menjelang akhir Kepengerusian ASEAN Malaysia, semalam.

“Dengan tujuan untuk mengukuhkan persahabatan atas semangat kita satu rantau ASEAN dan ini dia dibuat sempena dengan kalau dari segi korporasi kita buat ni sempena dengan penutup Tahun Koperasi Antarabangsa (IYC),” katanya, pada Majlis Makan Malam dan Pelepasan Konvoi Trans ASEAN Madani TMM2026, malam tadi.

Konvoi tersebut memulakan perjalanannya di Shah Alam menuju ke Kelantan dan memasuki Thailand melalui sempadan di Rantau Panjang pada pagi ini sebelum meneruskan perjalanan ke Songkhla.

Kemudian pada esok, mereka akan meneruskan perjalanan ke Hua Hin dan seterusnya ke Bangkok pada Sabtu. Mereka dijangka akan berada di Thailand dan mempromosikan TMM 2026 sebelum bertolak ke Phnom Penh, Kemboja pada Selasa depan.

Seterusnya, konvoi akan kembali semula ke Thailand pada 8 Januari sebelum bertolak ke Vientiane, Laos pada Jumaat depan. Mereka dijangka bertolak pulang ke negara ini pada 16 Januari.

Abdul Fattah berkata, beliau berhasrat untuk meneruskan program ini pada tahun-tahun akan datang dan menjadikan ia sebagai sebuah produk pelancongan dengan menawarkan kepada orang ramai untuk menyertai konvoi berkenaan.

“Kita hendak ambil peluang ini bagi meneroka (potensi pada masa) akan datang, kita boleh meriahkan lagi dan melibatkan ramai penyertaan daripada seluruh negara-negara koperasi (di ASEAN).

“Sebab dari segi program itu, dari Malaysia akan sampai ke Thailand ahli-ahli koperasi negara itu akan turut serta hinggalah ke sempadan itu dia punya laluan ataupun program yang kita rancang.

“Jadi insya-Allah kalau itu berjaya, Angkasa akan hantar pasukan untuk kita buat kajian dan kita akan jadikan produk untuk kita promosikan untuk tahun-tahun yang akan datang,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN