Kembali perkukuh saf parti, henti politik melaga-lagakan

Kembali perkukuh saf parti, henti politik melaga-lagakan – Wanita PN

Saf PN
NURUL SYAZWANI NOH OMAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Kepemimpinan Perikatan Nasional (PN) serta komponennya termasuk di peringkat akar umbi diingatkan supaya mengambil langkah memperkuat saf parti dan tidak terpengaruh dengan politik adu domba.

Ketua Penerangan Wanita PN, Nurul Syawani Noh berkata, semua pihak perlu berhenti mengeluarkan kenyataan melaga-lagakan antara saf kepimpinan PN.

“Politik adu domba dan fitnah murahan tidak akan melemahkan perjuangan kami, malah hanya menguatkan iltizam kami untuk terus berkhidmat kepada rakyat.

“Wanita PN sentiasa berada di barisan hadapan, bersama rakyat dalam suka dan duka. Kami sentiasa bekerja, turun ke lapangan, menyelami denyut nadi masyarakat dan memperjuangkan nasib mereka tanpa jemu,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Terdahulu akhbar ini melaporkan Muktamar Tahunan Pas Kali Ke-71 yang berakhir Selasa lalu meluluskan usul supaya parti itu memimpin PN sebelum Pilihan Raya Umum Ke-16, manakala PAT Bersatu sebelum ini memutuskan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah calon Perdana Menteri ke-11.

Percanggahan tersebut mencetuskan pertikaian dalam kalangan kepemimpinan Bersatu dan Pas dalam menentukan ‘poster boy’ mereka apabila antara pemimpin masing-masing dilihat membuat kenyataan menjatuhkan antara satu sama lain.

Nurul Syazwani yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang itu menegaskan, beliau bersama Wanita PN akan memastikan sayapnya bergerak seiring dengan kepemimpinan parti walaupun diuji dengan fitnah dan percubaan melaga-lagakan.

“Saya tegaskan sekali lagi: hentikan cubaan melaga-lagakan Perikatan Nasional. Saf kami teguh, rakyat bersama kami, dan perjuangan ini tidak akan goyah dengan taktik kotor sesiapa.

“PN kuat kerana perpaduan. Saya, sebagai sebahagian daripada barisan wanita PN, akan terus menjadi benteng, nadi, dan tulang belakang perjuangan ini. Selagi rakyat menaruh harapan, saya tidak akan berhenti berjuang,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×