Armada tubuh Majlis Perundingan Kebijakan

Armada tubuh Majlis Perundingan Kebijakan, rangka dasar baharu anak muda

Armada
MUHAMMAD HILMAN IDHAM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Angkatan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Anak Muda (Armada) mahu menubuhkan Majlis Perundingan Kebijakan bagi merangka dasar khusus menangani permasalahan ekonomi dan pendidikan generasi muda.

Jawatankuasa itu akan akan menempatkan kumpulan profesional terdiri dalam kalangan anak muda bagi membentuk dasar serta tawaran baharu buat golongan itu di negara ini.

Ketua Armada, Hilman Idham berkata, sayap Bersatu itu komited untuk turut ke lapangan dengan lebih progresif bagi mendengar dan melaksanakan libat urus dengan pelbagai segmen generasi muda.

Menurutnya, penubuhan majlis tersebut sebagai refleksi kepada situasi dihadapi anak muda ketika ini yang didakwa berdepan dengan kegagalan dasar kerajaan menguruskan keperluan golongan itu seperti ekonomi gig, peluang pekerjaan lebih baik serta krisis brain drain.

“Pada 2023, 5.5 peratus daripada populasi bekerja Malaysia menetap dan bekerja di luar negara. Kadar ini hampir dua kali ganda daripada purata global yang mencatatkan angka 3.3 peratus.

“Ertinya, 1.8 juta rakyat Malaysia memilih untuk mencari peluang pekerjaan dan mutu kehidupan lebih baik dengan meninggalkan tanah air, atau paling tidak memilih untuk menyeberang ke Singapura demi ganjaran Dolar.

“Statistik juga menunjukkan lebih 2,800 penerima biasiswa kerajaan tidak pulang semula ke tanah air bagi memenuhi perjanjian khidmat di Malaysia sejak 2010,” katanya dalam ucapan dasar Armada dalam Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu sayap itu, hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia itu berkata, situasi berkenaan diyakini berpunca daripada persekitaran kerja tidak menjanjikan pulangan setimpal, baik dari segi masa, lokasi tempat kerja serta budaya yang baik.

Terdahulu, dalam Majlis Perasmian Sayap-Sayap Bersatu, Hilman berkata, anggota parti perlu berhati-hati dan tidak melakukan kesilapan apabila mendakwa rakyat sedang melihat harapan dalam Bersatu khususnya PN untuk menjadi kerajaan selepas pilihan raya umum (PRU) akan datang.

“Sebab sebarang kesilapan kita adalah satu pengkhianatan terhadap cita-cita perubahan rakyat yang akan menggoncang Putrajaya tidak lama lagi. Kita bersama-sama lautan rakyat, kita akan terjun ke lapangan rakyat dan Insya-Allah kita akan menjadi sebuah kerajaan yang diangkat oleh rakyat dalam pilihan raya akan datang nanti.

“Marilah kita membingkai muafakat yang lebih utuh sebagai keluarga besar Armada, Srikandi, Srikandi Muda, Bersekutu dan Bersatu sebagai satu pasukan yang akan terjun dan memenangi hati rakyat dalam pilihan raya akan datang insya-Allah,” ucapnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×