SHAH ALAM: Seramai 21 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perikatan Nasional (PN) di Selangor menyatakan sokongan terhadap Datuk Seri Mohamed Azmin Ali supaya kekal sebagai Ketua Pembangkang negeri ini.
Sokongan tersebut dinyatakan oleh 21 daripada 22 ADUN selepas difahamkan mereka diminta menamakan seorang Ketua Pembangkang baharu jika ADUN Hulu Klang itu meletakkan jawatannya.
ADUN Permatang, Nurul Syazwani Noh berkata, semua ADUN teguh menyokong Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu supaya kekal memimpin PN di dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.
Ketua Penerangan Srikandi Bersatu itu menegaskan, Mohamed Azmin akan terus memainkan peranan penting sebagai suara semak dan imbang demi kepentingan rakyat negeri ini.
“Saya ingin menegaskan, perkara itu hanya desas-desus yang tidak berasas dan tidak mempunyai sebarang pengesahan rasmi,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Jelasnya, pertukaran Ketua Pembangkang hanya berlaku apabila perkara itu dinyatakan oleh kepemimpinan PN dan diterima oleh Speaker sebagaimana ketetapan dan amalan di dalam DUN.
Malam semalam, Mohamed Azmin yang juga bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri dikatakan telah menyatakan hasrat meletakkan jawatan sebagai Ketua Pembangkang Selangor.
Bagaimanapun, beliau menafikan perkara tersebut dan mendakwa ia tidak benar, sebaliknya teguh bersama 21 ADUN PN yang lain demi kepentingan rakyat di negeri ini.
Sementara itu ADUN Sementa, Noor Najhan Mohamad Salleh daripada Pas ketika dihubungi turut mengesahkan perkara tersebut sebagai suatu desas-desus dan tidak menimbulkan sebarang isu dalam kalangan wakil rakyat PN di Selangor.
“Kami memang menyokong kerana pada kami tiada isu pun. Cuma pendirian ADUN Pas pula adalah bertenang sehingga kenyataan rasmi dikeluarkan sendiri daripada Mohamed Azmin sendiri,” ujarnya. – UTUSAN










