PRN Sabah: Pengundi utamakan ekonomi, kesihatan, kepimpinan

PRN Sabah: Pengundi utamakan ekonomi, kesihatan, kepimpinan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, pengundi kini dilihat lebih mengutamakan isu ekonomi, penjagaan kesihatan dan kualiti kepimpinan berbanding kesetiaan politik tradisi dengan hampir suku daripada mereka belum membuat keputusan.

Tinjauan oleh syarikat penyelidikan Malaysia, Vodus Research, di seluruh Sabah pada Jun lalu mendapati seramai 536 pengundi berdaftar yang terlibat, merangkumi pelbagai demografi di negeri berkenaan.

Pengasas Vodus Research, Dr. Kelvin Goh berkata, hasil dapatan tersebut memberikan gambaran semasa mengenai sentimen awam di negeri kedua terbesar Malaysia itu.

Katanya, berdasarkan tinjauan itu juga, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) kini mendahului dengan 25 peratus sokongan pengundi diikuti Barisan Nasional (BN) sebanyak 13 peratus, Pakatan Harapan (PH) 10 peratus dan Warisan 9 peratus.

“Terdapat isyarat jelas bahawa keutamaan dan kecenderungan politik pengundi sedang berubah, justeru parti politik yang bergantung pada sokongan tradisi perlu lebih peka.

“Namun, angka paling ketara ialah 32 peratus pengundi yang belum membuat keputusan menjadikannya segmen terbesar selepas penyokong GRS,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kelvin berkata, Sabah dikenali dengan penjajaran politik yang dinamik serta komposisi pengundi berbilang etnik, namun blok pengundi yang besar masih belum membuat keputusan boleh menjadi penentu pada hari pengundian.

“Justeru itu, usaha mendekati pengundi dan kejelasan mengenai isu-isu utama akan menjadi faktor penting pada peringkat akhir,” katanya.

Menurut beliau, kebimbangan ekonomi yang melibatkan 54 peratus pengundi dan peningkatan kos sara hidup yang membabitkan 47 peratus pengundi muncul sebagai isu utama yang membelenggu pengundi Sabah.

“Bersama dengan penjagaan kesihatan dan peluang pekerjaan, masing-masing membabitkan 41 peratus pengundi, keempat-empat isu ini mendominasi perkara paling penting bagi rakyat Sabah menjelang pilihan raya.

“Hasil ini menunjukkan bahawa pengundi kini lebih menekankan isu harian yang nyata seperti kos sara hidup, perkhidmatan kesihatan dan pekerjaan, berbanding naratif politik yang besar,” katanya.

Mengulas mengenai faktor paling penting dalam memilih calon, beliau berkata, 66 peratus pengundi Sabah menyatakan bahawa kualiti kepimpinan seperti kompetensi, integriti serta kebolehpercayaan adalah kriteria utama yang diperlukan.

“Manifesto parti dan rekod politik berada pada kedudukan lebih rendah dari segi kepentingan sekali gus mencerminkan kecenderungan pengundi yang semakin berasaskan personaliti berbanding parti,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN