KUALA LUMPUR: Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal SalehMuhamad Akmal Saleh menyifatkan himpunan yang dilakukan di Pulau Pinang baru-baru ini tiada kaitan dengan parti politik sebaliknya ia untuk menjaga kehormatan negara.
Katanya, dia berlapang dada sekiranya tindakan itu memberi kesan hubungan UMNO dan DAP kerana baginya himpunan berkenaan sebagai membawa suara supaya Jalur Gemilang tidak diperkotak-katikkan.
“Dipersilakan, teruskan. Himpunan ini tidak ada kena mengena dengan parti politik, walaupun saya daripada UMNO. Himpunan ini bukan himpunan politik, himpunan ini bukan untuk dipolitikkan. Ini adalah soal untuk menjaga kehormatan negara kita.
“Jika ada pihak DAP mahu mempolitikkan tetapi dia tuduh pula kita yang mempolitikkan, ‘by all means’. Tadi juga ada kenyataan daripada Pemuda DAP Pulau Pinang mahu memutuskan hubungan politik dengan saya.
“Saya bagi tahu kenyataan saya, by all means, bring it on. Itu sahaja,” katanya selepas mengulas gesaan Pemuda DAP Pulau Pinang supaya kepemimpinan parti itu memutuskan hubungan politik dengannya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau yang juga EXCO Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Melaka itu berkata, himpunan kelmarin juga dilakukan secara aman tanpa sebarang provokasi dan tidak seperti digembar-gemburkan bahawa mereka datang dengan kekerasan.
Beliau menegaskan tidak akan berkompromi membabitkan isu bendera dan jika ia mempunyai unsur yang melakukan kesilapan dengan sengaja maka pihak terbabit perlu didakwa dan diberikan hukuman keras bukan semata permohonan maaf supaya ia tidak akan terus berulang berulang.
“Jika perkara (seperti itu) berlaku pertama kali terjadi, saya percaya mungkin kita boleh maafkan, tetapi ini perkara berulang setiap tahun, berulang (pada) bulan kemerdekaan.
“Tetapi jika kesilapan yang disengajakan dengan mengibarkan bendera secara terbalik dan kemudian merakam kibaran itu, ia seolah-olah menghina rakyat Malaysia apabila lambangnya (Jalur Gemilang) dihina,” jelasnya.
Terdahulu, Muhammad Akmal selesai memberi keterangan selama dua jam kepada polis berhubung isu berkenaan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, di sini hari ini.
Ini selepas DAP mengarahkan sayap Pemuda DAP (DAPSY) di seluruh negara membuat laporan polis terhadap tindakan Muhamad Akmal yang mengetuai perarakan dan demonstrasi di hadapan sebuah kedai logam di Kepala Batas, kelmarin. – UTUSAN










