PSM belum putuskan sertai PN - Arutchelvan

PSM belum putuskan sertai PN – Arutchelvan

S. ARUTCHELVAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Parti Sosialis Malaysia (PSM) belum membuat sebarang keputusan untuk menyertai Perikatan Nasional (PN) atau mana-mana gabungan politik baharu setakat ini.

Timbalan Pengerusi PSM, S. Arutchelvan berkata, setakat ini, parti itu hanya mempunyai ikatan persefahaman dengan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dan Parti Rakyat Malaysia (PRM), tanpa sebarang komitmen rasmi untuk membentuk pakatan politik.

“Sebelum ini, PSM pernah menjalinkan persefahaman dengan Gagasan Demokrasi Rakyat (GDR) dan Pakatan Rakyat (PR), namun keputusan untuk menyertai mana-mana gabungan politik hanya boleh diputuskan oleh Kongres PSM selaras dengan prinsip demokratik sentralisme yang diamalkan parti,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas kehadirannya dalam satu pertemuan blok pembangkang semalam, Arutchelvan mengesahkan beliau dijemput oleh Pengerusi PN merangkap Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi menghadiri sesi perbincangan membabitkan ketua-ketua parti bukan kerajaan.

“Kami hadir atas prinsip bahawa PSM terbuka menyertai sebarang mesyuarat jika dijemput mana-mana parti politik, selagi tidak bercanggah dengan dasar kami.

“Dalam pertemuan itu, Tan Sri Muhyiddin membentangkan beberapa cadangan termasuk pembentukan satu persefahaman rentas parti pembangkang.

“PSM menyambut baik perbincangan tersebut dan memberikan pandangan, namun tidak membuat sebarang keputusan untuk menyertai PN atau mana-mana gabungan baharu,” katanya.

Muhyiddin sebelum ini mengadakan pertemuan bersama 11 pemimpin parti blok bukan kerajaan bagi membincangkan cadangan menubuhkan satu barisan rentas parti yang boleh membawa suara rakyat secara kolektif.

Antara yang hadir dalam pertemuan itu ialah Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin; Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai; Presiden Parti Rakyat India Malaysia (MIPP), P. Punithan; Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir dan Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Dr. Ibrahim Ali.

Turut hadir, Pemangku Presiden Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Amira Aisya; Ketua Belia Parti Progresif Penduduk Malaysia (PPP), S. Sathiah; Presiden Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa), Zamani Ibrahim; Presiden Bersepakat Hak Rakyat Malaysia (Urimai), Prof. Dr. P. Ramasamy dan Presiden Parti Kemajuan Malaysia (MAP), P. Waytha Moorthy. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN