PN anggap GRS pengkhianat, tolak kerjasama PRN Sabah

PN anggap GRS pengkhianat, tolak kerjasama PRN Sabah

MUHYIDDIN YASSIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perikatan Nasional (PN) menolak untuk bekerjasama dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang telah mengkhianati parti itu selepas keluar daripada PN bagi membentuk kerajaan negeri.

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pihaknya bersedia mempertimbangkan sekiranya terdapat parti lain selain GRS untuk membentuk kerjasama atau pakatan pilihan raya untuk berdepan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Beliau berkata, PN meneliti dan memperhalusi secara lebih dekat setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan selepas dewan dibubarkan.

“Seperti saya katakan, sangat sukar (untuk bekerjasama dengan GRS) kerana parti itu (sudah) menafikan kita. Adakah anda mahu bekerja dengan mereka jika anda berada di tempat saya?

“(Nama) GRS itu diberikan oleh saya ketika mereka baru bermula dulu. Waktu itu, bukan saja Bersatu dalam gabungan, ada parti lain. Saya namakan GRS tapi sebagai nama saja, (tetapi) tidak berdaftar,” katanya kepada pemberita selepas Program Jelajah Perikatan Nasional Peringkat Parlimen Batu Sapi di gelanggang bola tampar perumahan Flat MPS Karamunting, semalam.

Mengulas lanjut, beliau yakin sokongan rakyat terhadap PN di negeri ini masih kukuh mengambil kira penerimaan rakyat terhadap program jelajahnya, selain faktor kegagalan kerajaan negeri itu sendiri dalam menyelesaikan masalah infrastruktur, beban kos sara hidup dialami rakyat serta kes rasuah membabitkan wakil rakyat.

“Antara faktanya, mereka melihat keikhlasan kita menguruskan negara ketika COVID-19, bantuan yang kita curahkan, (usaha kita) menyelamatkan banyak nyawa. Mereka masih ingat (jasa) saya dan panggil saya dengan nama ‘abah’,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN