Pejuang sokong cadangan tubuh barisan rentas parti

Pejuang sokong cadangan tubuh barisan rentas parti blok bukan kerajaan

Barisan rentas parti
MUKHRIZ Mahathir bersama bekas Perdana Menteri, Tun. Dr. Mahathir Mohamad; Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan; Naib Presiden Parti Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, tetamu lain dan perwakilan pada Perhimpunan Agung Pejuang, di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) tiada halangan terhadap cadangan penubuhan barisan rentas parti dalam kalangan blok bukan kerajaan di negara ini.

Presidennya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, parti itu sentiasa lantang untuk bersuara mengenai isu rakyat dan terbuka untuk berbincang dengan mana-mana pihak.

“Semalam kita ada terima jemputan daripada Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Pengerusi Perikatan Nasional (PN) dan Bersatu berkaitan cadangan mengenai barisan itu.

“Kita memberi pandangan mengenainya dan perbincangan itu dilihat amat bermakna,” katanya pada sidang akhbar perasmi Perhimpunan Agung parti itu, hari ini.

Tambah Mukhriz, Pejuang sememangnya sejak awal lagi lebih cenderung kepada PN.

“Kita selama ini memang langsung tidak berasa kekok untuk bersama menyertai mana-mana program PN. Ia juga termasuk program yang dianjurkan mana-mana parti dalam gabungan berkenaan,” ujarnya.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan penubuhan barisan rentas parti itu dicadang bagi memperkukuhkan peranan semak dan imbang parti pembangkang dalam serta luar Parlimen.

Cadangan itu dikemukakan Muhyiddin ketika mengadakan perbincangan bersama pemimpin-pemimpin utama parti bukan kerajaan semalam.

Perbincangan itu bertujuan mendapatkan pandangan berhubung penubuhan sebuah barisan rentas parti yang akan mengambil pendirian bersama dalam isu berkaitan kepentingan rakyat dan negara.

Selain Mukhriz, antara yang hadir dalam pertemuan itu ialah Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin; Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai; Presiden Parti Rakyat India Malaysia (MIPP), P. Punithan dan Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Dr. Ibrahim Ali. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN